Timbalan Pengarah HRW di Asia, Phil Robertson berkata, tindakan Yangon itu ternyata memburukkan lagi ketegangan agama dan kaum, terutamanya di negeri Rakhine yang dilanda keganasan kaum pada 2012 membabitkan penindasan terhadap etnik Rohingya.
Menurut Robertson, undang-undang baharu itu secara jelas mengingkari gesaan antarabangsa yang mahu melihat pemulihan hak asasi dan perdamaian di Rakhine, bagi mengelak berlaku lebih banyak kes orang hanyut yang terdesak mencari perlindungan di negara-negara jiran.
“Kami percaya etnik Islam Rohingya di Rakhine menjadi sasaran nombor satu selepas undang-undang tersebut diluluskan,” katanya seperti yang dilaporkan portal Saudi Gazette.
Berdasarkan laporan rasmi berhubung kes keganasan pada 2012 yang menyaksikan lebih 200 orang terbunuh dan 140,000 terpaksa dipindahkan, sebuah suruhanjaya kerajaan berkata, pihak berkuasa perlu menggalakkan kaedah perancangan keluarga dalam kalangan etnik Rohingya bagi mengehadkan kadar peningkatan populasi.
Semalam, media Myanmar melaporkan Presiden Thein Sein telah meluluskan undang-undang untuk mengawal kelahiran dengan menetapkan setiap ibu di negara itu menjarakkan kelahiran anak dalam tempoh tiga tahun.