Anifah juga berkata, Malaysia turut menggunakan pendekatan diplomatik dengan Thailand dan Indonesia untuk bersama-sama duduk berbincang menentukan cadangan serta kaedah yang dilihat komprehensif bagi menyelesaikan krisis itu.
"Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan berbincang secara mendalam masalah ini dan berharap Myanmar duduk bersama mencari penyelesaian sebelum ia dibawa ke peringkat antarabangsa.
"Jika perlu, kami akan memanggil mesyuarat kecemasan (ASEAN)," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Bangladesh Abul Hassan Mahmood Ali sempena Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Keempat antara Malaysia dan Bangladesh di sini hari ini.
Anifah berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Indonesia di sini, esok.
Menurutnya, Malaysia peka mengenai masalah etnik Rohingya, namun, ia tidak seharusnya ditanggung oleh Malaysia sahaja.
"Sekarang kita hendak mencari penyelesaian kepada masalah ini...Langkah yang kita ambil buat masa ini termasuk memberi bantuan daripada badan bukan kerajaan seterusnya mencari langkah bagaimana membantu mereka," katanya.
Bagaimanapun, menurut Anifah, Malaysia sudah tidak lagi mampu menanggung mereka memandangkan sejumlah besar etnik tersebut sudah berada di negara ini dan tiada negara lain yang mahu menerima mereka.
Mengenai pertemuan dengan Abul Hassan, kedua-dua negara bersetuju memperluas Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama dan Pengambilan Tenaga Kerja dari Bangladesh 2012 serta Protokol Meminda MoU.
Ini merupakan langkah terbaik menguruskan proses pengambilan pekerja kerana ia mampu mengurangkan kos selain mengelak pemerdagangan manusia. MoU berkenaan terhad kepada sektor perladangan.- BERNAMA