Agensi berita Xinhua melaporkan, kerjasama itu dinyatakan dalam satu kenyataan PBB yang disiarkan, hari ini berikutan lawatan Penasihat Khas Setiausaha Agung PBB ke Myanmar, Vijay Nambiar ke sebuah kem pelarian di negeri Rakhine, barat Myanmar.
Nambiar dan pihak berkuasa Myanmar dilapor membincangkan isu pemerdagangan manusia dan penghijrahan luar biasa yang berkaitan dengan krisis pelarian semasa di Laut Andaman dan Teluk Benggal.
PBB dalam kenyataannya menegaskan tentang keperluan tindakan bersepadu diambil ke atas broker dan sindiket jenayah yang terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia di rantau ini dan menawarkan sokongan kepada kerajaan Myanmar dalam menangani isu tersebut.
Badan dunia itu pada masa sama menggalakkan kerajaan Myanmar meneruskan operasi mencari dan menyelamat pelarian yang masih terkandas di laut.
Kerajaan Myanmar sementara itu dijangka mengambil bahagian pada satu mesyuarat serantau yang dijadual diadakan Jumaat ini di Bangkok bagi mengenal pasti bidang-bidang kerjasama serantau.
Bangladesh dan Myanmar sedang berusaha menghantar pulang 200 pelarian Bangladesh yang diselamatkan oleh tentera laut Myanmar di bawah perjanjian antara kedua-dua negara.
Dalam perkembangan berasingan, portal berita Al Jazeera melaporkan, Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Pendatang (IOM) mendakwa sekurang-kurangnya 2,621 pendatang Bangladesh dan etnik Rohingya masih terkandas di laut menunggu untuk diselamatkan di Laut Andaman dan Teluk Benggal.
Menerusi satu sidang media bersama di Manila, hari ini, wakil dua pertubuhan itu merayu peruntukan sebanyak AS$26 juta (RM94 juta) bagi membantu operasi menyelamat, penempatan semula atau menghantar semula kira-kira 10,000 orang yang terjejas dalam krisis pelarian itu.– BERNAMA/AGENSI