Saturday 16 May 2015

750 pelarian diselamatkan

Lhokseumawe, Indonesia: Lebih 750 pelarian Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh diselamatkan nelayan Indonesia semalam selepas kapal yang dinaiki mereka hampir karam di perairan negara itu, kata polis.
Menurut polis, penumpang sebuah bot yang membawa seramai 712 pelarian memberitahu kapal yang dinaiki mereka hampir karam di timur pulau Sumatera.
Bagaimanapun, bot yang turut membawa 61 kanak-kanak itu berjaya ditunda ke pantai oleh kapal nelayan Indonesia.
Sebuah lagi bot yang membawa 47 pelarian pula diselamatkan tidak jauh dari kapal pertama selepas pelarian terjun ke laut untuk merayu simpati kru kapal nelayan Indonesia membantu mereka.
Aktivis pelarian sebelum ini meramalkan seramai 8,000 pelarian berada di laut untuk mencari perlindungan di negara asing.
Lebih 600 pelarian kini mendapat perlindungan di Aceh selepas terdampar di wilayah itu baru-baru ini.
Sementara itu, seorang pegawai Thailand berkata, sebuah bot yang membawa kira-kira 300 pelarian Rohingya meninggalkan perairan negara berkenaan, awal pagi semalam.
Katanya, bot itu berlepas ke lokasi yang tidak didedahkan selepas pihak berkuasa membaiki enjin dan memberi mereka makanan.
Penumpang bot itu yang tiba di pulau Koh Lipe di selatan Thailand kelmarin menangis ketika merayu meminta makanan dan air.
Pelarian itu memberitahu wartawan yang menaiki bot pihak berkuasa Thailand, mereka berada di laut sejak dua bulan lalu.
Ujar pelarian itu lagi, 10 penumpang bot itu yang mati akibat kelaparan dan penyakit terpaksa dibuang ke laut.
“Kami tidak makan selama seminggu dan tiada tempat untuk tidur. Anak saya kini sakit,” kata seorang penumpang wanita, Sajida, 27, yang membawa empat anaknya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:09 AM


PELARIAN tiba di sebuah pelabuhan di Kuala Langsa dengan menaiki bot nelayan selepas diselamatkan dari kapal mereka yang hampir karam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/51268#sthash.uzjycyeu.dpuf

No comments:

Post a Comment