Saturday 16 May 2015

Pendatang bagai bola ping pong



SEBAHAGIAN pendatang Myanmar dan Bangladesh ditempatkan sementara di sebuah gudang di Kuala Langsa, Aceh semalam.


JAKARTA – Hampir 800 ‘orang bot’ ditunda ke perairan Indonesia semalam, manakala baki yang lain dihalau semula ke laut.
Keadaan itu menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru supaya ribuan orang hanyut berkenaan segera diselamatkan di perairan Asia Tenggara.
Sindiket penyeludupan manusia dikatakan meninggalkan kapal yang sarat dengan pendatang berkenaan dalam keadaan lapar dan sakit berikutan tindakan agresif kerajaan Thailand terhadap kes pemerdagangan manusia.
“Sebanyak 794 orang ditemui di tengah laut dan mereka ditunda oleh nelayan,” kata seorang pegawai mencari dan menyelamat Langsa di wilayah Aceh, Khairul Nova ketika dihubungi Reuters.
“Mereka kini ditempatkan sementara di sebuah gudang di pelabuhan,” tambah beliau.
Hampir 1,400 pendatang mendarat di Aceh, manakala lebih 1,000 tiba di Malaysia minggu lalu, bagaimanapun dua buah bot pendatang itu dihalau keluar dari perairan dua negara berkenaan.
Tentera Laut Indonesia menyekat bot yang dinaiki ratusan pendatang daripada memasuki ke perairan negara itu, kata seorang jurucakap tentera.
Sementara itu, kira-kira 400 pendatang di Thailand juga telah ditunda keluar dari perairan negara itu menuju ke Indonesia, lapor sebuah stesen radio milik kerajaan Thailand.
Malaysia juga dikatakan telah menghalau bot yang dipenuhi pendatang ke tengah laut bagi mengelak daripada terlalu banyak golongan berkenaan masuk ke negara itu.
“Keadaan itu sangat kompleks, mereka tiada makanan, air minuman dan ada yang minum air kencing sendiri. Sekarang ini berlaku seolah-olah satu permainan ping pong.
“Kami berharap kerajaan di rantau ini segera mencari jalan penyelesaian,” kata jurucakap serantau bagi Pertubuhan Imigrasi Antarabangsa di Bangkok, Joe Lowry.
Sementara itu, Leftenan Komander, Veerapong Nakprasit berkata, pihak berkuasa Thailand membaiki enjin bot pendatang yang rosak dan memberi bekalan makanan, air dan ubat sebelum menunda mereka ke tengah laut pagi semalam. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0516&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3aFQKaWqg 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment