Wednesday 20 May 2015

PBB desak selamatkan pendatang di laut

Geneva: Agensi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Malaysia, Indonesia dan Thailand meningkatkan usaha menyelamat di laut dan berhenti menghalang beribu-ribu pendatang daripada mendarat di wilayah masing-masing.
Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) menganggarkan beberapa bot yang membawa seramai 4,000 lelaki wanita dan kanak-kanak dari Myanmar dan Bangladesh kini hanyut di laut tanpa bekalan makanan.
Sebahagian mereka berjaya mendarat di Malaysia dan Indonesia tetapi selebihnya masih terdampar di dalam beberapa buah bot selama lebih 40 hari.
Satu kenyataan bersama oleh Organisasi Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), UNHCR, dan pejabat hak asasi manusia PBB mendesak ketiga-tiga negara itu berhenti menghalang bot berkenaan menghampiri wilayah mereka.
“Negara berkenaan sepatutnya menyediakan tempat yang selamat dan selesa untuk pendatang ini.
“Pihak berkuasa juga harus mengwujudkan prosedur saringan untuk mengenalpasti pendatang yang memerlukan perlindungan antarabangsa sebagai pelarian,” kata kenyataan itu.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon juga menggesa negara di Asia Tenggara menjalankan tanggungjawab mereka dengan menyelamat mangsa yang memerlukan bantuan di laut.
Ki-moon juga sangat bimbang dengan laporan kematian pendatang itu akibat kegagalan mana-mana negara menyelamatkan mereka.
“Setiap negara mesti memenuhi kewajipan mereka untuk menyelamat mangsa di laut dan mempertahankan prinsip tidak menghalau pelarian,” ujarnya.
Pengarah hak asasi manusia PBB, Zeid Ra’ad Al Hussein pada minggu lalu berkata, aliran keluar imigran akan berterusan sehinggalah Myanmar menghentikan penindasan terhadap etnik Rohingya yang beragama Islam di negara itu.
Sementara itu, kerajaan Filipina semalam memberitahu negara itu bersedia menerima pendatang berkenaan.
Setiausaha Keadilan Filipina, Leila de Lima berkata, Filipina bertanggungjawab untuk membantu pendatang itu kerana Manila sebahagian daripada konvensyen PBB mengenai pelarian pada 1951.
“Kami mempunyai tanggungjawab dan komitmen untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pencari perlindungan suaka ini,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 10:56 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52234#sthash.vjZoJBvN.dpuf

No comments:

Post a Comment