SYDNEY - AUSTRALIA. Menteri Luar Australia, Julie Bishop, kelmarin mengesahkan komitmen kerajaan untuk memberi dana tambahan berjumlah AS$4 .7 juta (RM17 juta) bagi membantu penduduk Islam Rohingya di Rakhine.

Bishop membuat pengumuman itu selepas negara di rantau Asia Tenggara kini bergelut dengan kebanjiran pelarian Bangladesh dan Rohingya di beberapa negara termasuk Malaysia sejak beberapa minggu lalu.

"Usaha untuk menyediakan lebih banyak sokongan kepada golongan tersebut diharap dapat meredakan krisis tersebut. Mereka tidak akan meninggalkan negara masing-masing jika berada dalam keadaan selamat," katanya.

Menurutnya lagi, dana tersebut akan disalurkan melalui PBB dan Program Makanan Sedunia (WFP) yang bertujuan untuk menyediakan tempat tinggal, bekalan makanan dan kecemasan.

"Sumbangan ini untuk membina sokongan jangka panjang kepada ekonomi, politik dan proses pembaharuan sosial di Myanmar serta komitmen Australia bagi menangani cabaran keselamatan di negara tersebut.

"Ia juga bertujuan untuk melumpuhkan kegiatan sindiket pemerdagangan manusia yang memberi harapan palsu dan menyediakan perjalanan tidak selamat kepada kumpulan pelarian tersebut," katanya lagi.

Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal Luar Thailand memaklumkan bahawa mereka tidak akan mengusir kumpulan pendatang yang memasuki perairan negara itu. 

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Menteri Hal Ehwal Luar, Tanasak Patimapragorn selepas mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatannya dari Kuala Lumpur dan Jakarta bagi membincangkan isu kemasukan pelarian tersebut.

"Masyarakat antarabangsa perlu bertindak segera untuk melindungi golongan pelarian tersebut yang menjadi mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab," tegasnya.

Difahamkan, satu mesyuarat akan diadakan di Bangkok untuk membincangkan isu kebanjiran pelarian di Lautan Hindi pada 29 Mei depan. - CNA