Semua pendatang asing itu termasuk 30 kanak-kanak dan wa­nita, diselamatkan awal pagi ini di perairan Selat Melaka di wilayah Aceh dengan keadaan mereka dilaporkan agak lemah dan ada yang sakit.
“Keadaan mereka agak lemah dengan kebanyakannya sedang sakit. Mereka mendakwa beberapa rakan mereka meninggal dunia akibat kelaparan,’’ kata seorang nelayan tempatan, Teuku Nyak Idrus.
Myanmar yang dikecam berhubung isu orang hanyut akhirnya mengubah nada mereka selepas Menteri-Menteri Luar dari Malaysia, Indonesia, dan Thailand yang menerima kecaman masyarakat global kerana tidak membenarkan bot orang hanyut masuk ke negara mereka, mengadakan mesyuarat di Malaysia bagi membincangkan isu berkenaan.
Laporan media tempatan yang memetik kenyataan Kementerian Luar Myanmar hari ini berkata, kerajaan turut berkongsi kebimbangan masyarakat antarabangsa dan bersedia untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada orang hanyut.
Myanmar sebelum ini dilaporkan menolak permintaan Thailand yang mahu mengadakan persidangan serantau membincangkan isu penyeludupan manusia, malah tidak hadir pada mesyuarat menteri-menteri luar ketiga-tiga negara Asia Tenggara itu yang diadakan di Malaysia.
Kira-kira 3,000 orang hanyut telahpun diselamatkan di Malaysia, Indonesia, dan Thailand sejak 10 hari lalu selepas Thailand membanteras sindiket pe­merdagangan manusia yang menjadikan negara itu sebagai ‘transit’.
Sementara itu, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa, kira-kira 2,000 pendatang asing terkandas di laut ketika ini sejak beberapa minggu lalu antara perairan ­Myanmar dan Bangladesh.
Menurut jurucakapnya, pendatang itu yang kini ditahan di dalam bot oleh sindiket pemerdaga­ngan manusia menuntut bayaran daripada pendatang asing itu jika mereka ingin dibebaskan. – AFP