YANGON - MYANMAR. Tentera Myanmar melakukan misi menyelamat pertama ke atas bot yang membawa kumpulan pelarian selepas berdepan desakan negara antarabangsa supaya mengambil tindakan segera untuk meredakan krisis kebanjiran pelarian di rantau Asia Tenggara itu.

Menurut laporan AFP, Jurucakap kerajaan, Ye Htut berkata, kapal tentera laut berjaya menemui dua bot ketika melakukan rondaan di perairan negara tersebut pada Khamis lalu.

"Salah sebuah bot tersebut ditemui membawa kira-kira 219 pelarian termasuk sembilan kru dan dua jurubahasa Benggali. Kesemua mereka didakwa berasal dari Cox's Bazar, Chittagong dan utara Dhaka," katanya.

Menurutnya, sebuah lagi bot milik warga Thailand dilaporkan sedang menuju ke bandar Maungdaw.

Sementara itu, Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) turut menyambut baik usaha Myanmar.

"Kami harap perkembangan positif ini dapat membendung kebanjiran pelarian dan melumpuhkan kegiatan sindiket pemerdagangan manusia," kata jurucakapnya, Vivian Tan.

Menurut  UNHCR, kira-kira 2,000 pelarian dipercayai masih terkandas di Teluk Benggal selepas kumpulan penyeludup bertindak menghentikan kegiatan mereka susulan operasi yang semakin meningkat di perairan Asia Tenggara sejak akhir-akhir ini.