JAKARTA - INDONESIA. Indonesia memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot asing membawa warga Bangladesh serta etnik Rohingya dari Myanmar, selepas  negara itu didakwa mengeluarkan polisi mengenai keengganan mereka memberikan perlindungan.

Sebelum ini, Jakarta dilaporkan meninggalkan kapal dipenuhi ribuan pendatang yang terkandas di lautan sejak tindakan keras Thailand memerangi jenayah penyeludupan manusia awal bulan ini.

Menurut  AFP, bersama dengan negara jiran Malaysia, kerajaan mengubah pendekatan dengan mengumumkan bahawa negara itu akan menyelamatkan migran dengan syarat mereka boleh ditempatkan semula atau dihantar pulang dalam tempoh setahun.

Jurucakap tentera Indonesia, Fuad Basya memberitahu, pihaknya telah menerima perintah daripada Presiden (Joko Widodo) untuk melancarkan operasi SAR dalam wilayah Indonesia mahu pun perairan antarabangsa.

"Kami akan menyelamatkan migran dan membawa mereka ke pantai. Sehingga petang kelmarin, tiada lagi bot baharu dilihat," katanya.