Hampir 3,000 pelarian berkenaan telah diselamatkan selain ada antara mereka berenang ke tepian pantai di Malaysia, Indonesia, dan Thailand.
Pada awalnya, tiga negara itu enggan menerima kehadiran kumpulan pendatang tersebut yang tiba dengan bot, namun mengambil keputusan untuk membantu mereka dua hari lepas selepas perbinca­ngan bersama.
Berita itu disambut gembira oleh kira-kira 1,800 etnik Rohingya Islam yang kini ditempatkan di Aceh.
Menurut laporan AFP, seorang etnik Rohingya, Muhammadul Hasson,17, yang telah diselamatkan melahirkan rasa syukur dengan berita Indonesia dan Malaysia akan menghulurkan bantuan kemanusian.
“Rakyat di tempat saya diseksa hidup-hidup sehingga kami terpaksa lari ke sini. Kini kami lega kerana masih ada yang mahu menolong kami terutamanya Malaysia dan Indonesia.
“Sekiranya kerajaan Indonesia mahu menghantar kami kembali ke Mynmar, ini bermakna sama juga dengan membunuh kami sekarang. Saya rela dihantar ke mana-mana negara sekalipun, tetapi bukan dengan bot lagi,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan hari ini, Turki menerusi Presidennya, Recep Tayyip Erdogan menyatakan kesediaan untuk menderma sejumlah AS$1juta (RM3.59 juta) kepada pelarian Rohingya.
Agensi berita Anadolu melaporkan, sumbangan itu akan diberikan kepada Pertuduhan Migrasi Antarabangsa (IOM) dan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) untuk disalurkan kepada kumpulan pendatang asing berkenaan. – AFP