Bishop berkata, Indonesia menjangkakan tidak sampai separuh daripada beribu-ribu orang hanyut yang terdampar di perairan Asia Tenggara merupakan etnik Islam Rohingya yang berasal dari negeri Rakhine, Myanmar.
“Mereka (Indonesia) percaya hanya antara 30 dan 40 peratus daripada 7,000 orang yang hanyut di laut (di perairan Asia Tenggara) merupakan penduduk Rohingya, manakala selebihnya adalah rak­yat Bangladesh... mereka adalah buruh haram dan bukan pencari suaka politik. Mereka ini dijanjikan pekerjaan atau mencari kerja di Malaysia.
“Mereka (Indonesia) menyatakan (penduduk) Rohingya telah pergi (melarikan diri) ke Bangladesh dan bercampur dengan penduduk negara itu (Bangladesh) yang merancang perjalanan ke Malaysia untuk mencari pekerjaan (secara haram),’’ kata Bishop kepada akhbar The Weekend, hari ini.
Bishop berkata, Ketua Pengarah Hal Ehwal Hubungan Dua Hala Indonesia, Hasan Kleib memaklumkan bahawa sebuah daripada kapal itu yang diselamatkan membawa 400 daripada 600 penumpang yang sebahagian besar merupakan rak­yat Bangladesh.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon berkata, menyelamatkan nyawa orang hanyut tersebut seharusnya menjadi keutamaan paling teratas dalam usaha menyelesaikan krisis tersebut di rantau berkenaan.
Ki-moon berharap negara-negara di rantau itu akan mencari punca sebenar pemasalahan itu bagi mencari jalan menangani isu itu pada persidangan yang akan membincangkan krisis itu di Thailand pada hujung bulan ini.
“Apabila mereka hanyut di laut, bagaimana kita boleh mencari dan menyelamatkan mereka serta menyediakan bantuan kemanusiaan bagi menyelamatkan nyawa mereka, perkara itu adalah keutamaan kita ketika ini,” katanya ketika me­lakukan lawatan ke Hanoi, hari ini.
Sementara itu, Turki akan menyumbangkan sebanyak AS$1 juta (RM3.6 juta) kepada Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) dan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dalam usaha menyediakan bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya, lapor agensi berita Anadolu yang memetik sumber kerajaan. – AFP