Monday 25 May 2015

Indonesia mula selamat Rohingya


SEORANG budak lelaki Rohingya menerima perkhidmatan mencukur rambut oleh sukarelawan di pusat penempatan Bayeun, Aceh baru-baru ini. - AFP


JAKARTA – Indonesia memulakan operasi mencari dan menyelamat bot-bot membawa pendatang Bangladesh dan etnik Rohingya dari Myanmar yang terkandas di laut, kata seorang pegawai semalam.
Usaha itu dilakukan selepas Indonesia menukar dasar untuk tidak memberi perlindungan kepada mereka.
Jakarta mencetuskan kemarahan antarabangsa apabila mengusir bot-bot yang sarat dengan imigran susulan operasi membanteras kegiatan penyeludupan manusia oleh pihak berkuasa Thailand sejak awal bulan ini menyebabkan beribu-ribu pendatang Bangladesh dan Rohingya terkandas di laut.
Indonesia dan Malaysia bagaimanapun menukar pendekatan pada Rabu lepas apabila kedua-dua negara itu bersetuju menerima pendatang tersebut jika mereka boleh ditempatkan semula dalam tempoh setahun.
Walaupun nelayan Indonesia sudah membawa beratus-ratus etnik Rohingya dan pendatang Bangladesh yang terkandas ke pantai, masih belum ada usaha menyelamat daripada Jakarta sehingga kini.
“Namun, empat kapal perang, dua jambatan pontun dan sebuah pesawat peronda telah dikerah dalam operasi mencari dan menyelamat yang bermula petang Jumaat lalu,” kata seorang jurucakap tentera Indonesia, Fuad Basya.
“Kami menerima arahan Presiden Joko Widodo untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat, sama ada di perairan Indonesia atau antarabangsa,” katanya.
“Kami akan menyelamatkan imigran dan membawa mereka ke pantai,” tambah Fuad.
Menurutnya, sehingga petang semalam, masih tiada bot imigran yang kelihatan.
Dalam pada itu, kerajaan Malaysia mengumumkan pada Khamis lalu bahawa pasukan tentera laut dan pengawal pantainya akan dikerahkan untuk menyelamatkan imigran Rohingya dan warga Bangladesh
Lebih 3,500 imigran berenang ke pantai atau diselamatkan di perairan Malaysia, Indonesia, Thailand dan Bangladesh sejak krisis orang hanyut tercetus awal bulan ini.
Bot-bot berkenaan yang sarat dengan pendatang Bangladesh dan Rohingya ditinggalkan oleh sindiket penyeludupan manusia di tengah laut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3b6HneYCE 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment