YANGON - MYANMAR. Wartawan dilarang masuk ke Parlimen Myanmar semalam selepas foto ahli Parlimen yang tidur dimuatnaik dan tersebar di laman sosial sebelum ini.
 
Menurut laporan AP, wartawan hanya dibenarkan mengikuti perbahasan di Parlimen menggunakan televisyen yang diletakkan di koridor.
 
Selain daripada foto ahli Parlimen tidur, aksi ahli Parlimen menggunakan peranti seperti iPad juga telah dimuatnaik.
 
Walau bagaimanapun, para wartawan yang bertindak berbincang dengan pegawai Parlimen akhirnya dibenarkan untuk berada di tingkat dua bangunan berkenaan.
 
Alternatif tersebut dianggap tidak adil oleh sesetengah pengamal media di Myanmar.
 
"Larangan tersebut tak masuk akal. Kebebasan media tiada dalam tangan wartawan tetapi berada dalam kawalan mereka yang berpangkat," kata ketua editor surat khabar Tomorrow, Zaw Thet Htway.
 
Difahamkan, hampir sepuluh wartawan telah dijatuhi hukuman penjara atas beberapa sebab di Myanmar, sebelum ini.