Saturday 16 May 2015

Myanmar enggan hadiri mesyuarat isu pendatang


YANGON – Myanmar berkemungkinan tidak menghadiri mesyuarat serantau yang dianjurkan oleh Thailand dalam masa terdekat bagi menyelesaikan krisis pendatang asing di Teluk Bengal, kata pejabat Presiden semalam.
Ratusan bot yang membawa pendatang asing tiba di Thailand, Malaysia dan Indonesia sejak 1 Mei lalu susulan penemuan kubur besar dipercayai milik migran dari Bangladesh dan Myanmar. Penemuan di selatan Thailand itu sekali gus mendorong sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia meninggalkan kapal masing-masing.
Pihak berkuasa Thailand yang dikecam kerana menutup mata terhadap isu itu, bakal mengadakan mesyuarat serantau pada 29 Mei di Bangkok bagi menangani punca aliran kedatangan pendatang asing. Kebanyakan daripada mereka merupakan etnik Rohingya Islam dari wilayah miskin di barat Myanmar.
Myanmar menolak untuk mengiktiraf Rohingya sebagai salah satu kumpulan etnik di negara tersebut.
Yangon mendakwa Thailand menggunakan sidang kemuncak serantau bagi mengalihkan perhatian terhadap kelemahan berkaitan masalah penyeludupan manusia.
“Kami mungkin tidak menghadirinya. Kami tidak menerima jika mereka (Thailand) menjemput hanya untuk meringankan tekanan yang mereka hadapi,” ujar Pengarah Pejabat Presiden, Zaw Htay kepada AFP.
“Puncanya adalah peningkatan pemerdagangan manusia. Isu kubur pendatang asing bukan masalah Myanmar, ia disebabkan oleh kelemahan pencegahan pemerdagangan manusia dan penguatkuasaan undang-undang di negara tersebut,” tambahnya.
Mesyuarat satu hari itu akan dihadiri oleh wakil dari 15 negara termasuk Indonesia, Malaysia, Bangladesh, Myanmar termasuk Australia dan Amerika Syarikat. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0516&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3aFQejynb 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment