Timbalan jurucakap Jabatan Negara AS, Marie Harf, semalam berkata, AS menyambut baik keputusan Malaysia dan Indonesia menghentikan tindakan mengusir pelarian yang terdampar di dalam bot hanyut di laut lepas.
Katanya, AS akan membantu agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan pusat perlindungan dan akan menimbangkan permohonan untuk menempatkan semula pelarian itu.
“Kerajaan AS bersedia bersama-sama negara-negara di rantau itu memikul beban tersebut dan membantu menyelamatkan nyawa orang pelarian.
‘‘Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk membantu menyelamatkan nyawa pelarian yang terdampar di lautan,” katanya kepada pemberita.
Timbalan Setiausaha Negara AS, Tony Blinken kini berada di rantau itu dan akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Myanmar, hari ini bagi menggesa mereka bekerjasama dengan Bangladesh untuk membantu menyelamatkan pelarian dan memberi bantuan kepada pelarian yang hanyut di lautan.
“Kami bimbang terhadap faktor-faktor yang mendorong pelarian sanggup meredah lautan, termasuk dasar kerajaan Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya, dan diksriminasi kaum dan agama di negara itu,” tambahnya.
Myanmar, terutama dengan dasar-dasarnya terhadap etnik Rohingya yang menjadi punca utama tercetusnya isu kebanjiran pelarian, semalam mula berlembut dengan menawarkan bantuan kemanusiaan bagi menangani isu pendatang asing.
Tindakan Malaysia, Indonesia dan Thailand mengusir pelarian tersebut pula telah membangkitkan kemarahan masyarakat antarabangsa.
Delegasi tertinggi AS akan menghadiri satu persidangan pada 29 Mei ini bagi membincangkan mengenai krisis pendatang asing anjuran Thailand di Bangkok.
Lebih 1,000 etnik Rohingya telah ditempatkan di AS sejak Oktober lalu, dan Harf berkata, Washington akan memainkan peranan utama bagi membantu menempatkan semula pelarian itu di negara ini.
Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Tony Abott bertegas bahawa Australia tidak akan menerima kedatangan pelarian etnik Rohingya dan memberi amaran orang hanyut tidak harus diberi kehidupan baharu di Barat.
“Tidak, tidak, tidak,’’ kata Abbot kepada pemberita ketika ditanya sama ada Australia akan mengambil pelarian Islam Rohingya yang mendarat di pantai Asia Tenggara.
Kami tidak akan melakukan apa-apa yang akan menggalakkan pelarian, jika kita menerima kedatangan pelarian, masalah ini akan menjadi bertambah buruk,” ujarnya. – AGENSI/AFP