JAKARTA - INDONESIA. Ratusan pelarian Rohingya yang kelaparan diselamatkan dari kepulauan Indonesia semalam, selepas Myanmar menawarkan bantuan buat kali pertama untuk meringankan krisis  serantau tersebut.

Pegawai tempatan memaklumkan, seramai 426 pendatang dipercayai dari Myanmar telah diselamatkan di luar Aceh, di Indonesia lapor  AFP.

"Seramai 30 kanak-kanak dan 26 wanita antara yang diselamatkan," menurutnya.

Sementara itu, Teuku Nyak Idrus, nelayan tempatan yang turut terlibat dalam operasi menyelamat berkata, keadaan pendatang ketika diselamatkan sangat lemah dan beberapa orang meninggal dunia akibat kelaparan.

Puluhan bot dipenuhi pelarian kebanyakannya dari Myanmar bergerak ke laut sejak 10 hari lalu, selepas tindakan keras Thailand membendung jenayah pemerdagangan orang menyebabkan penyeludup meninggalkan kargo manusia mereka di laut.