Thursday 28 May 2015

Bangladesh mahu pindah pelarian Rohingya


KANAK-KANAK dan wanita Rohingya tidur di sebuah penempatan di Bayeun, Aceh kelmarin.


DHAKA – Bangladesh bercadang memindahkan beribu-ribu etnik Islam Rohingya yang hidup bertahun-tahun di beberapa kem pelarian dekat sempadan Myanmar ke sebuah pulau di selatan negara berkenaan, kata seorang pegawai semalam.
“Kerajaan mula merancang untuk menempatkan semula pelarian Rohingya ke Pulau Hatiya di Teluk Bengal,” kata ketua Unit Pelarian Myanmar, Kumar Baul.
“Langkah itu disokong oleh Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina,” tambahnya.
Menurut Kumar, langkah penempatan semula itu berikutan timbulnya kebimbangan kem-kem pelarian Rohingya mengekang industri pelancongan di Cox’s Bazaar di mana penduduk tempatan mengunjungi hotel dan resortnya untuk bercuti.
Bangladesh kini me­nempatkan seramai 32,000 pelarian Rohingya berdaftar yang berlin­dung di dua buah kem di daerah Cox’s Bazar dekat sempadan Myanmar.
Mengulas perkemba­ngan tersebut, seorang pemimpin etnik Rohingya berkata, langkah itu akan menjadikan kehidupan mereka lebih sengsara.
“Kami mahu kerajaan Bangladesh dan pertubuhan antarabangsa ­menyelesaikan isu kami,” kata seorang pemimpin Ro­hingya di sebuah kem berkenaan, Mohammad Islam.
Beribu-ribu etnik Ro­hingya yang ditindas dan pendatang Bangladesh menempuh perjalanan berbahaya menggunakan bot di Asia Tenggara.
Rancangan penempatan semula itu diumumkan beberapa hari selepas Sheikh Hasina mengecam imigran Bangladesh de­ngan ramai antara mereka masih terkandas di laut, sebagai ‘sakit mental’ dan menuduh mereka memalukan negara. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3bNlogOKA 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment