JAKARTA - INDONESIA . Kerajaan Indonesia akan menghantar lebih 230 kanak-kanak Rohingya Myanmar ke sekolah agama berasrama penuh, menurut laporan televisyen tempatan, semalam.
 
Menteri Hal Ehwal Sosial, Khofifah Indar Parawansa memberitahu, kanak-kanak itu adalah sebahagian daripada 1,700 penumpang bot manusia yang hanyut di pantai wilayah Aceh selepas seminggu berada di laut.
 
"Beberapa sekolah agama berasrama di pulau Jawa berbesar hati menerima mereka jika mereka telah bersedia untuk belajar," katanya.
 
Selain itu, kanak-kanak yang ditempatkan di pusat perlindungan sementara sekitar Aceh turut diajar bahasa dan beberapa pelajaran lain oleh sukarelawan.
 
Minggu lalu, Malaysia dan Indonesia bersetuju memberi perlindungan sementara kepada lebih 7,000 migran, selain menjalankan usaha menyelamatkan mereka yang masih hanyut di laut. - dpa