Walaupun kumpulan pemerhati antarabangsa memuji pelaksanaan bancian itu yang menelan kos sebanyak AS$50 juta (RM182 juta) sebagai petunjuk awal sosioekonomi Myanmar, tetapi tindakan Yangon mengabaikan hak etnik Rohingya daripada senarai 135 kumpulan etnik di negara ini menunjukkan sikap kerajaan Myanmar tidak berminat untuk mengiktiraf golongan itu sebagai rakyat sah Myanmar.
Pegawai kanan penyelidikan pertubuhan Human Rights Watch, David Mathieson berkata, tindakan mengecualikan etnik Rohingya dari­pada bancian tersebut merupakan tindakan yang tidak boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa kerana kerajaan Myanmar menunjukkan dasar yang berbaur perkauman dan dasar yang menindas.
“Tindakan berkenaan juga merosakkan kepentingan dan keperluan bancian untuk pembangunan Myanmar,” katanya seperti yang dilaporkan portal Al Jazeera.
Keputusan bancian tersebut yang disiarkan, hari ini menunjukkan populasi Myanmar yang mempunyai seramai 51.5 juta penduduk, tidak termasuk kira-kira 1.3 juta etnik Rohingya yang menetap di negeri Rakhine di barat negara ini.
Presiden Myanmar, Thein Sein dalam ucapannya ketika mengulas tentang keputusan bancian tersebut, tidak menyebut langsung tentang nasib etnik Rohingya, sebaliknya mempertahankan bancian berkenaan yang disifatkan oleh beliau sebagai mematuhi piawaian antarabangsa.
Senada dengan Thein Sein, Penasihat Khas PBB bagi Myanmar, Vijay Nambiar turut memuji bancian berkenaan sebagai pencapaian bersejarah demi pembangunan negara dan proses demokrasi.
Nambiar tidak mengulas tentang nasib etnik Rohingya yang tidak tersenarai sebagai salah satu daripada etnik minoriti di Myanmar.