Portal Mail Online yang memetik kenyataan mangsa yang terselamat melaporkan, insiden itu berlaku pada Sabtu lalu di dalam bot yang sarat dengan pendatang asing yang terdesak sebelum mereka mendarat di Kuala Langsa, Aceh.
“Mereka berebutkan sisa makanan selepas berhari-hari kelaparan tidak makan,” kata saksi.
Pendatang asing yang mendarat di Aceh itu turut memberitahu bahawa sepanjang dua bulan pelayaran menaiki bot, ramai antara mereka ditikam dan juga dibuang ke laut selepas bergaduh sesama sendiri.
Mereka juga mengalami dehidrasi dan kekurangan zat makanan.
Jumaat lalu, sebanyak 700 orang pendatang asing dipercayai etnik Rohingya dan Bangladesh di­selamatkan oleh pihak berkuasa Indonesia di Aceh.
Permohonan visa mereka kini sedang diteliti kerajaan negara ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengecam tindakan apa yang disifatkan sebagai permainan kejam ‘ping pong maritim’ oleh negara-negara Asia Tenggara yang enggan membenarkan orang hanyut itu mendarat.
Sementara itu, Tentera Laut Indonesia semalam menghalang bot-bot asing daripada memasuki perairan negara ini, selepas beratus-ratus pelarian Rohingya dan Bangladesh tiba di Aceh dan me­ningkatkan rondaan keselamatan di wilayah tersebut.
Kira-kira 3,000 pelarian sanggup berenang ke pantai atau diselamatkan oleh pihak berkuasa Indonesia, Malaysia, dan Thailand sejak beberapa minggu lalu dan separuh daripada mereka mendarat di wilayah Aceh. – AFP/AGENSI