BANGKOK – THAILAND.  Thailand hari ini menggesa bagi usaha bersepadu oleh semua negara berkaitan - negara asal, transit dan destinasi – bagi menyelesaikan masalah apa yang dirujuk sebagai kebanjiran pendatang tanpa izin di Lautan Hindi.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Thailand Jen Tanasak Patimapragorn berkata kehadiran banyak pendatang tanpa izin di Lautan Hindi telah mencecah tahap amat membimbangkan dan menjejaskan beberapa negara di rantau ini.

Tiada negara dapat menyelesaikan masalah ini secara bersendirian, katanya semasa merasmikan Mesyuarat Khas mengenai Pendatang Tanpa Izin di Lautan Hindi, di sini.

"Ia juga memerlukan tempoh masa dan kerjasama antarabangsa untuk menangani masalah ini secara komprehensif dalam semangat berkongsi bebanan antarabangsa. Kita perlu saling bekerjasama," katanya pada persidangan multinasional itu.

Tanasak tidak menyebut Rohingya atau warga Bangladesh untuk merujuk kepada pendatang tanpa izin itu.

Beliau berkata, Thailand mengambil inisiatif menganjurkan mesyuarat ini dengan tiga objektif utama: pertama, untuk menangani segera situasi kemanusiaan pendatang tanpa izin yang terkandas; keduanya, untuk memerangi masalah jangka panjang pemerdagangan dan penyeludupan manusia untuk mencegah aktiviti itu daripada berleluasa; dan, ketiganya untuk menangani punca masalah itu.

Tanasak berkata, minggu lepas, Thailand, Indonesia dan Malaysia telah mengumumkan hasrat untuk terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pendatang yang berada di laut.

Malaysia dan Indonesia juga menawarkan pelindungan sementara kepada pendatang yang terkandas dengan syarat proses penempatan dan penghantaran pulang akan dilakukan dalam masa setahun oleh masyarakat antarabangsa.

Thailand pula sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pendatang terbabit "dengan menggandakan usaha kami", katanya.

Sejak 26 Mei 26, kapal-kapal Tentera Laut Diraja Thailand telah dikerahkan untuk bertindak sebagai 'platform terapung' untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada pendatang berkenaan di laut, katanya. - Bernama