Sehingga kini, 26 mayat berjaya dijumpai di kubur yang terletak di sebuah kem lama di daerah Sadao, wilayah Songkhla berhampiran sempadan Malaysia, dengan usaha mencari terpaksa dihentikan lewat malam semalam akibat hujan lebat.
Punca sebenar kematian me­reka masih tidak diketahui, namun berdasarkan bahan bukti, Ketua Polis Thailand, Somyot Pumpanmuang menyifatkan kawasan berkenaan sebagai ‘kem penjara maya’ di mana pendatang akan dipenjarakan di dalam sangkar yang diperbuat daripada buluh.
Dr. Kwanwilai Chotpitchayanku yang bertanggungjawab merawat dua orang pendatang yang terselamat berkata, mangsa masing-masing berumur 25 dan 35 tahun menghidapi pelbagai jenis penyakit.
“Mereka kekurangan zat makanan, mempunyai kudis, dan kutu. Mangsa yang berusia 35 tahun tidak boleh berjalan dan me­ngadu tidak makan selama dua hari sebelum ditemui, selain, mengalami demam sejak dua bulan lalu,” jelas Kwanwilai.
Anggota penyelamat berkata, empat daripada mangsa yang terkorban ditemui sudah mereput, manakala seorang lagi baru mati beberapa hari lalu.
Zon selatan Thailand merupakan laluan utama bagi aktiviti pemerdagangan manusia serta menempatkan rangkaian kem-kem rahsia di mana pendatang ditempatkan dan hanya akan dibebaskan jika ahli keluarga mangsa membayar wang pampasan. – AFP