Wednesday 13 May 2015

Tekong macam Firaun

Langkawi: Pengalaman menyaksikan rakan sendiri diperlakukan dengan buruk oleh tekong dan orang upahan termasuk disepak, diketuk pada kepala selain dibunuh sebelum mayat dibuang ke laut meninggalkan trauma paling menakutkan buat lebih 1,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terkandas di pulau peranginan ini, kelmarin.
Detik menyeksakan sepanjang merentasi laut untuk tiba di Malaysia diceritakan warga asing terbabit apabila mereka ditahan pihak berkuasa selepas dua bot dinaiki tersangkut pada beting di Pantai Pasir Berdengung berhampiran benteng pemecah ombak di Kuala Chenang, di sini.
Salah seorang PATI itu, Jalal Ahmad, 25, dari Mawlamyine, Myanmar, berkata, dia melihat kekejaman tekong bersama orang upahan sepanjang lebih 150 hari berada atas bot kayu yang sarat dengan muatan manusia.
“Kami membayar setiap seorang antara RM4,000 dan RM8,000 kepada pihak tertentu untuk naik bot sebelum belayar ke Malaysia manakala kanak-kanak dikenakan bayaran antara RM2,000 dan RM3,000 seorang.
“Apabila berada atas bot di tengah lautan, keadaan jauh berubah apabila tekong dan orangnya bertindak ganas kepada sesiapa saja penumpang yang membuat aduan berkaitan diri atau lapar.
“Setiap hari pasti ada orang dipukul dengan batang besi kerana mengadu lapar dan dahaga,” katanya.
Jalal yang boleh berbahasa Melayu berkata, sepanjang pelayaran semua penumpang hanya duduk mencangkung dalam keadaan berhimpit dan melelapkan mata sambil duduk kerana ruang terhad.
“Mereka (tekong dan orang upahan) tiada belas kasihan apabila memukul rakan saya dengan besi hingga mati sebelum mayat dihumban ke laut kerana membantah cakap mereka dan merungut lapar.
“Semua penumpang takut, lapar dan letih sepanjang pelayaran. Kami memang bersedia untuk mati pada bila-bila masa dan hanya mengharap nasib untuk terus hidup,” katanya.
Anuwaran Begum, 40, dari Pyinmana, Myanmar, berkata, dia mengharapkan sesuatu yang indah seperti diceritakan rakan yang sudah berada di Malaysia, sekali gus mengubah kehidupan kepada lebih baik sebelum menaiki bot kayu berkenaan.
“Tetapi selepas beberapa hari berada dalam bot, suasana di atas bot umpama ‘neraka’ kerana fikiran dan pandangan mata sentiasa diganggu perbuatan kejam tekong dan orang-orangnya terhadap rakan-rakan.
“Kami hanya diberi makan sekali sehari bersama setengah cawan air diproses tekong menggunakan mesin. Air minuman memang sukar sebab tekong mahu jimat air,” katanya yang kematian suami sejak empat tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, dia bersama PATI lain bersyukur kerana layanan diberikan pihak berkuasa negara ini dan penduduk tempatan cukup baik sebaik menjejakkan kaki ke Langkawi.
“Pada mulanya kami takut dan cuba bersembunyi dalam hutan kerana menyangka mendarat di Thailand, tetapi apabila dimaklumkan penduduk kami berada di Malaysia, saya dan kawan gembira.
“Kami diberi makanan dan pakaian oleh penduduk manakala pihak berkuasa memberi tempat tinggal lebih selesa berbanding keadaan dalam bot yang sempit,” katanya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan meluangkan masa 30 minit melawat kumpulan PATI terbabit yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Kompleks Kementerian Dalam Negeri selain di Lapang Sasar Antarabangsa Langkawi, di sini.
Nor Saidi berkata, beliau menerima maklumat terdapat lebih 5,000 PATI lagi menunggu masa sesuai untuk belayar menggunakan dua bot bersaiz sama bagi memasuki perairan Malaysia.
“Saya dimaklumkan mereka tiada pilihan kerana desakan hidup dan keganasan terhadap penduduk oleh pemerintah menyebabkan mereka berusaha belayar keluar dari Bangladesh dan Myanmar.
“Dalam kalangan mereka terdiri daripada bayi, kanak-kanak, remaja dan orang dewasa yang memperjudikan nasib dan sanggup mati untuk datang ke negara ini,” katanya.
Menurutnya, beliau difahamkan Jabatan Imigresen Kedah sedang melakukan proses dokumentasi sebelum menghantar semua PATI itu secara berperingkat ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:22 AM

NOR Saidi (kanan) meninjau keadaan kanak-kanak PATI ketika membuat lawatan ke dewan sementara.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/50560#sthash.wnTi3MlI.dpuf

No comments:

Post a Comment