Saturday 6 April 2013

Gaduh di kem pelarian: 8 mati, 15 cedera



Jakarta: Pelarian beragama Islam dan Buddha dari Myanmar semalam bertempur di kem pelarian di Indonesia dalam satu rusuhan yang membunuh lapan orang dan mencederakan 15 yang lain, lapor media.

Perusuh menggunakan batang kayu, pisau dan batang besi dalam pertempuran dua jam di pusat imigresen di Pulau Sumatera, lapor media sebagai memetik kenyataan polis. Lebih 20 warga Myanmar turut ditahan. Rusuhan itu tercetus selepas satu pertengkaran mengenai keganasan agama baru-baru ini antara penduduk majoriti yang beragama Buddha dan kaum minoriti Muslim Rohingya di Myanmar.


Beribu-ribu penduduk Rohingya melarikan diri dari Myanmar setiap tahun dengan bot usang mencari perlindungan dan pekerjaan di Indonesia dan Malaysia, tetapi bilangan itu semakin meningkat sejak insiden rusuhan tahun lalu. Indonesia juga menjadi tempat persinggahan untuk mereka yang mencari suaka di Australia.


Dianggarkan 800,000 penduduk Rohingya tinggal di Myanmar tetapi secara rasmi bukan rakyat negara itu. Kerajaan Myanmar enggan memberikan taraf kewarganegaraan dan merujuk mereka sebagai imigran haram dari Bangladesh.


Tetapi Bangladesh juga tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyatnya. - Jakarta Post

No comments:

Post a Comment