Wednesday 3 April 2013

Siasat polis gagal henti rusuhan



Imej satelit dikeluarkan DigitalGlobe dan didedahkan Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW), menunjukkan keadaan di bandar Meiktila sebelum (atas) dan selepas (bawah) rusuhan agama berlaku, kira-kira 130 kilometer di utara Naypyidaw, Myanmar. - AFP
BANGKOK 1 April - Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW), hari ini mendesak kerajaan Myanmar menjalankan siasatan berhubung kegagalan polis Myanmar menghentikan rusuhan agama membabitkan penduduk Islam dan Buddha di negara itu, baru-baru ini.
Desakan itu keluarkan selepas pertubuhan yang beribu pejabat di New York itu menyiarkan imej satelit yang memaparkan lebih 800 bangunan musnah di tengah Meiktila.
Pengarah HRW di Asia, Brad Adams berkata, kerajaan Myanmar perlu menyiasat siapakah pihak yang bertanggungjawab memulakan rusuhan di Meiktila.
"Kerajaan Myanmar juga harus menyiasat kegagalan pihak polis mengekang pembunuhan dan pembakaran rumah penduduk di kawasan berkenaan," katanya.
Menurut laporan media tempatan, sebanyak 43 orang terbunuh dan lebih 1,300 buah rumah dan bangunan musnah dalam kejadian rusuhan agama yang tercetus di pekan itu pada bulan lalu.
Kira-kira 12,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke kawasan lain, jelas laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Timbalan Pengarah HRW di Asia, Phil Robertson berkata, pekan Meiktila yang paling teruk terjejas, merupakan kawasan penempatan sejumlah besar penduduk Islam di negara itu.
Katanya, keganasan di pekan itu 'dibiarkan berlanjutan selama beberapa hari' tanpa dihalang oleh pihak berkuasa.
"Kami mendapat banyak maklumat dan laporan tentang tindakan polis membiarkan rusuhan dan tidak mahu campur tangan menghentikannya," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130402/lu_04/Siasat-polis-gagal-henti-rusuhan#ixzz2PNZYDlGV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment