Monday 1 April 2013

Presiden bimbang konflik agama rosakkan imej negara



01/04/2013 3:04am

YANGON - Konflik antara komuniti berbeza agama di Myanmar telah merosakkan imej negara itu di mata dunia, kata Presiden Thein Sein semalam, merujuk kepada situasi keganasan yang menyaksikan ramai rakyat beragama Islam terbunuh.
Gelombang keganasan yang bermula 20 Mac lalu telah mengakibatkan banyak masjid dan kediaman di beberapa buah bandar di tengah Myanmar musnah dibakar. Sekurang-kurangnya 43 orang terkorban dan insiden tersebut telah mendesak pihak kerajaan mengisytiharkan undang-undang darurat di beberapa kawasan.
“Sesetengah orang awam terlibat dalam pembunuhan dan memulakan kebakaran kerana terikut-ikut perasaan marah, sedangkan sepatutnya setiap tindakan tertakluk pada undang-undang. Semua yang berlaku ini telah mencalarkan imej Myanmar di pentas antarabangsa,” ujar Thein Sein melalui siaran radio.
Bekas jeneral itu menambah, insiden sedemikian boleh menjahanamkan maruah dan hubungan negara itu dengan komuniti antarabangsa. Beliau juga memberi amaran bahawa transisi demokrasi Myanmar yang belum matang juga boleh terjejas kerananya.
Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah antara kuasa yang telah ‘menegur’ tentang konflik agama tersebut. Ia disifatkan sebagai pertelingkahan yang teruk selepas insiden keganasan antara penganut Buddha dan Islam di Rakhine tahun lalu dengan angka korban sebanyak 180 orang.
Thein Sein memberi jaminan menangani insiden itu dengan teliti. Sehingga kini, situasi dilihat semakin tenang walaupun ribuan orang telah kehilangan harta benda dan tempat tinggal. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_01.htm#ixzz2PA4vuEpF 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment