Wednesday 3 April 2013

13 kanak-kanak mati rentung



Anggota-anggota Palang Merah Myanmar, mengangkat beg berisi jenazah seorang kanak-kanak yang maut dalam kebakaran di asrama sekolah di sebuah masjid di Yangon, Myanmar, semalam. - AGENSI
YANGON 2 April - Sekurang-kurangnya 13 orang kanak-kanak dilapor terbunuh dalam satu kebakaran di sebuah asrama sekolah Islam di sini, hari ini.
Seorang pegawai polis, Thet Lwin berkata, ketika kebakaran berlaku, terdapat sebanyak 75 kanak-kanak tinggal di asrama itu yang terletak di kawasan sebuah masjid di timur Yangon.
Katanya, kebanyakan penghuni berjaya menyelamatkan diri selepas pihak polis memecahkan satu daripada pintu asrama terbabit.
Jelasnya, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada lintar pintas dan tidak ada kaitan dengan perbuatan khianat.
Pihak berkuasa Myanmar turut menghalang jalan di sekeliling masjid itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berikutan rusuhan agama yang berlaku di Meiktila, baru-baru ini.
Kira-kira 200 penduduk Islam berkumpul di sekitar tempat kejadian, dan kebanyakan mereka mendakwa kebakaran itu dilakukan dengan sengaja.
Ahli jawatankuasa masjid, Soe Myint berkata, kebanyakan kanak-kanak yang tinggal di asrama itu dihantar oleh ibu bapa masing-masing untuk belajar di sekolah agama.
"Ramai murid yang tidur di tingkat bawah, manakala 16 lagi tidur di atas para yang terletak di tingkat satu.
"Tiga daripada mereka berjaya menyelamatkan diri, manakala 13 lagi terbunuh dalam kebakaran terbabit," katanya.
Anggota persatuan belia Islam tempatan, Zaw Min Htun berkata, penduduk Islam di kawasan terbabit marah dengan kejadian itu dan mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap punca sebenar kebakaran.
"Murid-murid yang terbunuh ini tidak bersalah. Kami mengesyaki ada pihak yang membakar masjid (asrama) terbabit.
"Saya tidak lihat mana-mana wayar yang terbakar di dalam masjid ini dan kotak fius juga berada di dalam keadaan baik," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130403/lu_04/13-kanak-kanak-mati-rentung#ixzz2PNXAFsV3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment