Thursday 4 April 2013

Suruhanjaya ditubuh siasat kebakaran



SEORANG anggota polis mengawal luar lokasi masjid yang terlibat dalam kebakaran di Yangon, kelmarin. Kerajaan Myanmar menubuhkan satu pasukan suruhanjaya khas untuk menyiasat punca kebakaran tersebut. - AGENSI
YANGON 3 April - Myanmar telah menubuhkan satu suruhanjaya untuk menyiasat kejadian kebakaran di sebuah asrama sekolah Islam kelmarin yang mengorbankan 13 orang kanak-kanak lelaki.
Menurut akhbar tempatan New Light of Myanmar hari ini, suruhanjaya yang dianggotai tujuh orang itu akan membentangkan laporan siasatan pada hari Jumaat ini.
Kebakaran tragis pada Selasa lalu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti Islam kerana mungkin golongan itu menjadi sasaran berikutan rusuhan agama antara Muslim-Buddha yang bermula dari tengah Myanmar.
Pihak berkuasa bagaimanapun menegaskan, kejadian tersebut adalah kemalangan dan mendakwa ia berpunca daripada litar pintas serta kegagalan dua orang guru yang tidur ketika sekolah tersebut dijilat api.
"Kami telah menyerahkan segala bukti kepada suruhanjaya dan mereka akan menyiasat kes tersebut. Ia juga memudahkan urusan mereka kerana kita telah menemui puncanya," Kata Ketua Polis, Myint Aye.
Beliau memberitahu, seorang guru telah disoal siasat, sementara seorang lagi sedang dicari bagi membantu kes tersebut.
Dalam kejadian itu, kira-kira 70 orang kanak-kanak termasuk anak-anak yatim, sedang tidur di asrama sekolah berkenaan sebelum api bermula dari bawah tangga.
Pihak berkuasa memberitahu, mangsa yang mati disebabkan lemas dalam asap tebal dan tidak dapat menemukan jalan keluar kerana dihalang dengan jeriji besi di tingkap.
Pihak polis dan tentera mengawal masjid dan beberapa sekolah agama selepas tragedi itu ekoran kebimbangan insiden itu akan merebak ke tempat lain.
Seorang pemimpin Islam tempatan, Ye Naung Thein yang pada awalnya menyifatkan kebakaran itu disengajakan berkata, dia percaya 'seratus peratus' kejadian tersebut adalah kemalangan.
"Semuanya adalah munasabah dan saya tidak fikir terdapat punca luaran. Ini adalah kerana kelemahan guru agama dalam bertindak menyelamatkan kanak-kanak tersebut,''katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130404/lu_05/Suruhanjaya-ditubuh-siasat-kebakaran#ixzz2PVfyTeRx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment