Monday 1 April 2013

Tindakan kekerasan atasi rusuhan agama



Penduduk-penduduk Islam menghulurkan tangan bagi menerima sumbangan makanan di kem penempatan sementara di bandar Meiktila, tengah Myanmar, pada 23 Mac lalu. - AFP
YANGON 29 Mac - Kerajaan Myanmar tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kekerasan bagi menghentikan rusuhan agama yang berlarutan di bandar Meiktila, tengah negara ini sejak minggu lalu.
Presiden Myanmar, Thein Sein dalam ucapan yang disiarkan di televisyen berkata, tindakan undang-undang akan diambil untuk menghentikan 'keganasan agama dan golongan oportunis politik' yang cuba menyemarakkan kebencian antara fahaman agama di negara ini.
"Secara umumnya, saya tidak akan melaksanakan tindakan kekerasan untuk menyelesaikan masalah.
"Bagaimanapun, saya tidak teragak-agak untuk menggunakannya (tindakan kekerasan) sebagai penyelesaian terakhir bagi menyelamatkan nyawa dan melindungi harta awam," kata beliau dalam ucapan awam pertamanya berhubung kejadian berkenaan.
Kenyataan itu dibuat Thein Sein berikutan serangan terhadap penganut Islam oleh penyerang Buddha yang masih berterusan di beberapa bandar di Myanmar yang kini semakin menghampiri Yangon.
Beliau bagaimanapun turut menggambarkan insiden yang tercetus ketika ini sebagai konflik dan kesukaran yang timbul ketika dalam proses ke arah sebuah negara demokrasi.
"Dalam usaha membina negara, kita perlu bangkit daripada sejarah 60 tahun penderitaan yang menggunakan pendekatan konfrontasi bagi berdepan dengan perbezaan," katanya dalam ucapan selama 10 minit itu.
Dalam perkembangan yang sama, polis mengumumkan sebanyak 42 orang maut sehingga semalam sejak sengketa agama tercetus pada 20 Mac lalu, termasuk menyebabkan 37 buah masjid dibakar dan 1,227 buah rumah musnah serta 68 ditahan di tiga kawasan terlibat.
Keganasan yang bermula dengan pergaduhan berpunca daripada penganut Buddha menyerang minoriti Islam di Meiktila, sehingga kini menyebabkan 12,000 penduduk hidup dalam pelarian.
Insiden itu merebak ke beberapa kawasan pada minggu ini iaitu membabitkan wilayah Bago, kira-kira 160 kilometer utara Yangon.
Satu insiden turut dilaporkan berlaku di bandar pentadbiran Myanmar, Naypyitaw. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130330/lu_05/Tindakan-kekerasan-atasi-rusuhan-agama#ixzz2P8Nu1xto
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment