Saturday 6 April 2013

Rusuhan etnik merebak ke Indonesia

Rusuhan etnik merebak ke Indonesia
Anggota polis mengangkat mayat salah seorang
pelarian Rohingya di pusat tahanan
imigresen di Medan.
MEDAN - Pemohon suaka dari Myanmar merusuh di sebuah pusat tahanan imigresen di Indonesia menyebabkan 15 terbunuh. Ketua polis tempatan, Endro Kiswanto berkata, lebih 100 pelarian Rohingya melakukan serangan menggunakan pisau dan batu dalam kejadian di Medan, Sumatera Utara selepas solat Jumaat. “Kejadian bermula apabila berlaku perang mulut antara pelarian Muslim dan Buddha tentang keganasan di tanah air mereka. Salah seorang daripada mereka bertindak membaling batu antara satu sama lain hingga mencetuskan ketegangan,” katanya dipetik dari laporan AFP. Menurutnya, lebih 50 anggota keselamatan dikerah ke tempat kejadian bagi menyuraikan pergaduhan itu. “Kami khuatir keganasan ini akan merebak ke seluruh negara berikutan ia membabitkan perkara agama,” katanya. Beliau berkata, sehingga kini suasana di pusat tahanan itu terkawal dan mangsa cedera dihantar ke hospital untuk rawatan. Sementara itu, dalam perkembangan lain, pihak berkuasa Indonesia bertindak menutup masjid pengikut Ahmadiya di Bekasi bagi mengelakkan rusuhan mazhab. Masjid Al-Misbah di pinggir Jakarta itu digunakan pengikut Ahmadiyah yang mencetuskan kontroversi sejak beberapa tahun lalu di Indonesia. “Tidak ada kebebasan beragama di negara ini. Semoga ALLAH memberikan kita kekuatan menghadapi situasi ini, “kata Rochim, seorang pengikut berusia 65 tahun. Beliau berkata, sekiranya mereka tidak dibenarkan untuk bersolat di dalam masjid mereka nekad untuk bersolat di luar masjid.

No comments:

Post a Comment