Monday 1 April 2013

Kerajaan Myanmar enggan bertanggungjawab



Yangon: Kerajaan Myanmar semalam menafikan bertanggungjawab terhadap keganasan penganut Buddha ke atas penduduk Islam negara itu.

Timbalan Menteri Penerangan, Ye Htut dalam laman Facebooknya menyangkal sekeras-kerasnya kenyataan Pegawai khas Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tomas Ojea yang berkata kerajaan Myanmar perlu memikir tanggungjawab terhadap keganasan yang menyaksikan puluhan penduduk Islam dibunuh.


Media kerajaan Myanmar semalam melaporkan, jumlah kematian akibat kekejaman itu meningkat 43 orang dan lebih 1,300 kediaman dan bangunan musnah.

Seramai 68 orang ditahan dan berdasarkan jumlah keseluruhan, 163 kejadian ganas dilapor berlaku di 15 bandar.


Sebelum ini jumlah kematian rasmi kekal 40 orang.


Keadaan nampak lebih tenang sejak Presiden Thein Sein Khamis lalu berikrar untuk mengambil tindakan tegas terhadap dalang di sebalik keganasan itu.

Keganasan pertempuran berpunca daripada pertengkaran di kedai emas milik peniaga Islam yang kemudian bertukar menjadi rusuhan.


Bagaimanapun saksi berkata, keganasan yang berlaku kelihatan seperti sudah dirancang. Ia adalah rusuhan antara agama terburuk sejak penganut Buddha menyerang penduduk Islam di negeri Rakhine tahun lalu yang meragut sekurang-kurangnya 180 nyawa dan menyebabkan 110,000 terpaksa menyelamatkan diri. - AFP

No comments:

Post a Comment