Wednesday 22 May 2013

Thein Sein gesa henti keganasan



WASHINGTON 21 Mei - Presiden Myanmar, Thein Sein, semalam menggesa keganasan antara etnik dan agama serta diskriminasi di negaranya dihentikan selepas menerima saranan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama supaya menghentikan serangan anti-Islam.
Thein Sein dalam ucapannya di sini menyuarakan hasratnya mahukan 'identiti nasional yang lebih kukuh merangkumi semua rakyat', namun tidak pula menyebut tentang penderitaan dialami oleh etnik Rohingya.
''Rakyat Myanmar daripada pelbagai latar belakang etnik dan agama termasuk Buddha, Kristian, Islam, Hindu dan yang lain, perlu menjadi sebagai sebahagian daripada identiti nasional baru ini.
''Kita perlu menamatkan semua bentuk diskriminasi dan menentukan tidak hanya keganasan antara puak dihentikan tetapi juga membawa dalangnya ke muka keadilan,'' katanya ketika berucap di Pusat Pengajian Pengajian Antarabangsa Lanjutan, Universiti Johns Hopkins.
Thein Sein tiba di Washington semalam dalam lawatan rasminya ke Amerika Syarikat, menjadikannya pemimpin Myanmar pertama melawat White House dalam tempoh hampir satu abad.
Lawatan itu merupakan lawatan balas Obama ke Myanmar pada tahun lepas.
Thein Sein juga berikrar untuk berusaha mencapai gencatan senjata dengan pemberontak Kachin selepas kerajaan berdamai dengan beberapa gerila etnik lain di negara itu.
''Hasrat kami adalah perdamaian berkekalan. Ini bermakna kompromi. Ia akan membawa makna lebih banyak penurunan kuasa negara dan di peringkat wilayah,'' katanya.
Kumpulan hak asasi manusia mendakwa pegawai Myanmar tidak mengendahkan keganasan terhadap etnik Rohingya dengan Human Rights Watch (HRW) menuduh Myanmar melancarkan kempen 'pembersihan etnik' terhadap Rohingya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130522/lu_02/Thein-Sein-gesa-henti-keganasan#ixzz2TyLPtzLN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment