Thursday 2 May 2013

Sengketa baharu di Myanmar



Sekumpulan penduduk Islam sugul menyaksikan rumah mereka musnah dalam rusuhan agama terbaharu di Oakkan, kira-kira 100 kilometer di utara Yangon, Myanmar, semalam. - AFP
OAKKAN, Myanmar 1 Mei - Seorang terkorban, manakala sembilan lagi cedera, apabila sekumpulan perusuh menyerang masjid-masjid dan membakar beberapa buah rumah di sini, semalam.
Menurut pihak berkuasa, pergolakan agama terbaharu itu meletus di bandar kecil Oakkan, kira-kira 100 kilometer di utara Yangon, selepas seorang wanita secara tidak sengaja terlanggar seorang sami muda.
Seorang jurucakap polis memberitahu AFP, sami itu meninggal dunia di hospital akibat kecederaan teruk.
Menurut jurucakap Presiden, Ye Htut menerusi Facebooknya, pihak berkuasa telah menahan 18 individu selepas 77 buah rumah di empat buah kampung di sini, dibakar.
Penduduk beragama Islam dan Buddha yang panik berkata, polis tidak melindungi mereka ketika sekumpulan perusuh menyerang sebuah masjid di kampung Mie Laung Sakhan, malam tadi.
"Antara 200 dan 300 orang tiba di kampung kami menaiki motosikal dan memusnahkan masjid. Semua orang kampung melarikan diri. Kami takut dan tidak melawan. Mereka memusnahkan masjid sepuas hati mereka," kata penduduk kampung, Soe Myint, 48 tahun.
Seorang wartawan yang berada di lokasi kejadian memberitahu bahawa masjid di kampung berkenaan rosak teruk dan kira-kira 10 buah rumah turut dibakar. Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak datang membantu sehinggalah pagi ini.
"Kami mendengar khabar angin bahawa rusuhan akan berlaku lagi. Kami turut menerima ancaman bunuh. Kami sangat takut dan memerlukan perlindungan," kata penganut Buddha, Than Soe. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130502/lu_05/Sengketa-baharu-di-Myanmar#ixzz2S5MaGYfk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment