Thursday 16 May 2013

Taufan Mahasen hampiri Myanmar

Taufan Mahasen hampiri MyanmarSebuah keluarga etnik Rohingya berlindung di khemah mereka di pinggir Sittwe ibu negeri Rakhine, Myanmar, semalam. Puluhan ribu etnik Rohingya di kem sementara enggan pindah

SITTWE: Pihak berkuasa Myanmar semalam bertungkus lumus memindahkan puluhan ribu penduduk, kebanyakannya Muslim Rohingya, sebelum Taufan Mahasen melanda khemah yang menjadi kediaman mereka sejak krisis etnik dan agama tahun lalu.

Taufan Mahasen sudah pun meragut sekurang-kurangnya tujuh nyawa dan menyebabkan 3,881 kehilangan tempat tinggal di Sri Lanka, kata Pusat Pengurusan Bencana kelmarin.
Mahasen bergerak ke utara ke Teluk Benggal dan dijangka tiba awal esok, melanda utara Chittagong di Bangladesh.


Kerajaan Myanmar bercadang memindahkan 38,000 penduduk yang memang tiada tempat tinggal, kebanyakannya Muslim Rohingya, kelmarin tetapi ramai enggan ditempatkan di kem di Rakhine di barat negara itu, bimbang dengan niat sebenar pihak berkuasa.

Sekurang-kurangnya 192 maut pada Jun dan Oktober tahun lalu dalam keganasan antara etnik Buddha Rakhine dan Rohingya, yang dinafikan kerakyatan oleh kerajaan di Myanmar dan dianggap oleh penduduk Buddha sebagai pendatang dari Bangladesh.

Di khemah berhampiran laut dengan Persimpangan Hmanzi di pinggir Sittwe, ibu negeri Rakhine, beberapa penduduk memberitahu Reuters mereka lebih rela binasa dalam ribut berbanding berpindah.

“Kami tiba di sini tahun lalu kerana pertempuran antara Rakhine dan Muslim. Saya kehilangan segala-galanya. Ibu dan dua anak perempuan saya meninggal dunia.
“Jika taufan melanda tempat ini, saya berdoa kepada Allah. Semua di sini mahu mati dalam ribut kerana kami sudah kehilangan segala-galanya tahun lalu,” kata Hla Maung, 38, yang beragama Islam.

Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang membantu kerajaan Myanmar di Rakhine, berkata ribut dijangka lemah tetapi masih mengancam 8.2 juta penduduk di timur laut India, Bangladesh dan Myanmar.

Pihak berkuasa di Bangladesh memberitahu penduduk supaya mula berpindah. Bot nelayan dan bot kecil lain diberi amaran berada berhampiran pantai dan tidak meneroka laut dalam.

Pemindahan di Myanmar dilihat sebagai ujian kesanggupan kerajaan membantu Rohingya, penduduk miskin yang sekian lama teraniaya yang membawa petanda keganasan agama di Rakhine dan sebelum itu menderita ketika pemerintahan tentera selama setengah abad.

Hla Maung dan yang lain menolak usaha agensi pelarian PBB kelmarin untuk memindahkan mereka ke berek tentera berhampiran. Mereka diberitahu awal semalam boleh mendapatkan perlindungan di sekolah tetapi ramai masih enggan pergi.

No comments:

Post a Comment