Wednesday 8 October 2014

Pengedar dadah warga Myanmar maut ditetak


TASEK GELUGOR 7 Okt. - Seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai pengedar dadah kepada rakan senegaranya di kawasan Pokok Machang, maut setelah ditetak dengan senjata tajam oleh sekumpulan lelaki, malam tadi, dipercayai akibat hutang dadah.
Dalam kejadian di sebuah kawasan ladang sawit di Pokok Machang, Tasek Gelugor di sini, pukul 10 tengah malam, mangsa, K. Arichandaran, 34, mati di tempat kejadian dengan kesan kecederaan parah di bahagian kepala dan tangan kirinya hampir putus.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.50 tengah malam daripada seorang lelaki warga Myanmar yang memaklumkan rakannya telah diserang sekumpulan lelaki.
"Berdasarkan keterangan rakannya yang dikenali sebagai Janggu atau Raja itu, mangsa dalam perjalanan ke rumah rakannya dengan menunggang motosikal sebelum muncul sekumpulan lelaki lalu menyerangnya.
"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca kerana dendam ekoran mangsa gagal membayar hutang kepada beberapa kumpulan pengedar dadah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata, pihaknya turut mendapati mangsa mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah dan pernah ditahan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, setakat ini polis telah merekodkan keterangan daripada beberapa rakan mangsa dan usaha mengesan kesemua suspek yang terbabit dalam kejadian itu sedang dijalankan.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141008/je_04/Pengedar-dadah-warga-Myanmar-maut-ditetak#ixzz3FVEDHWws
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment