Thursday 16 October 2014

Mayat lelaki Myanmar ditemui dengan kesan tikaman

SEORANG lelaki warga Myanmar ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan kesan tikaman di badan serta tetakan dan kelar di leher dalan kejadian hadapan sebuah kedai di Taman Impian Ria Machang Bubok, Bukit Mertajam - Foto NSTP
BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki rakyat Myanmar ditemui mati dengan beberapa kesan kelar dan tikaman di badan di Taman Impian Ria, Machang Bubuk di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata mayat Htoo Aung, 30, ditemui oleh orang awam pada jam 12.45 tengah malam.

"Mayat lelaki itu ditemui di kaki lima kawasan deretan kedai tiga tingkat dalam keadaan tertiarap. Pemeriksaan polis mendapati kesan tikaman di dada, rusuk kiri, perut dan bahu serta kelar di leher.

"Mangsa dipercayai baru pulang bekerja berdasarkan pakaian dipakainya iaitu seluar jeans, T-shirt biru dan kasut 'safety boot'. Kami turut menemui dokumen pengenalan diri dan telefon bimbit lelaki itu dalam poket seluarnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.



Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya lelaki yang bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas, dekat sini itu dipukul sekumpulan rakyat asing berpunca perselisihan faham antara mereka.

Rusli berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment