Wednesday 8 October 2014

Yangon bebas 3,000 tahanan


YANGON 7 Okt. - Myanmar dilaporkan mula membebaskan kira-kira 3,000 banduan termasuk seorang tahanan politik dan bekas tokoh risikan tentera negara itu atas dasar 'kemanusiaan', dalam satu pengampunan secara besar-besaran, hari ini.
Menurut status Facebook yang dimuat naik oleh Menteri Penerangan Myanmar, Ye Htut, Presiden negara itu, Thein Sein mengampunkan sekurang-kurangnya 3,073 orang banduan termasuk 58 warga asing, sambil memetik ia dibuat atas alasan 'kestabilan negara itu, kedaulatan undang-undang' dan 'kemanusiaan'.
Wakil daripada Kumpulan Sokongan Bekas Banduan Politik yang bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam rundingan membebaskan baki penentang kerajaan, Ye Aung berkata, seorang banduan yang ditahan atas faktor politik adalah antara yang dibebaskan.
"Kami hanya boleh mengesahkan pembebasan seorang daripada tahanan politik dari penjara Myitkyina. Beliau dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun di bawah Akta Bahan Letupan pada 2013.
"Membebaskan banduan adalah baik. Kami menyambut baik langkah itu. Namun, kami mahu kerajaan membebaskan lebih banyak lagi (tahanan). Secara politiknya, ia tidak bermakna tanpa pembebasan lebih banyak tahanan politik,'' katanya, sambil menambah kata, masih terdapat 75 tahanan politik yang dipenjara.
Myanmar yang sedang bersiap sedia menjadi tuan rumah mesyuarat pemimpin tempatan dan antarabangsa pada November ini telah melaksanakan beberapa siri pengampunan sebagai sebahagian usaha pembaharuan politik sejak berakhirnya era pentadbiran tentera pada 2011.
Sebelum usaha pembaharuan di Myanmar dilaksanakan, kumpulan hak asasi manusia menuduh kerajaan secara salah memenjarakan kira-kira 2,000 tahanan politik dengan kebanyakan mereka menurut aktivis dilakukan sebelum lawatan pemimpin-pemimpin antarabangsa ke negara ini.
Bagaimanapun menurut penggerak kempen pembebasan tahanan politik, berpuluh-puluh orang ditahan di bawah undang-undang baharu Myanmar dengan kebanyakan mereka ditahan kerana mengadakan demontrasi tanpa kebenaran, walaupun kerajaan mengumumkan tiada lagi tahanan politik pada Disember tahun lalu.
Wartawan turut tidak terkecuali menjadi 'mangsa' tahanan, manakala bekas tahanana politik kembali ditahan kerana meneruskan aktiviti mereka. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141008/lu_06/Yangon-bebas-3000-tahanan#ixzz3FVBSuhF4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment