Saturday 11 October 2014

Etnik Rohingya diacu pistol enggan daftar sebagai Benggali


Gambar tidak bertarikh merakamkan beberapa orang anggota polis Myanmar mengawal sekumpulan etnik Rohingya semasa konflik agama di Rakhine. - AGENSI
YANGON 10 Okt. - Pihak berkuasa Myanmar dilaporkan memukul dan menahan etnik Islam Rohingya yang enggan memberi kerjasama dengan pegawai imigresen untuk mendaftarkan mereka sebagai etnik Benggali sebagai syarat mendapatkan taraf kerakyatan.
Laporan Associated Press yang memetik kenyataan saksi berkata, pihak berkuasa turut menyerbu perkampungan Rohingya yang dilabelkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai minoriti paling teruk ditindas di dunia, untuk memaksa mereka mengaku sebagai pendatang haram dari negara jiran, Bangladesh.
Seorang penduduk, Khin Maung Win berkata, pusat pemeriksaan polis juga telah dibina di luar kampungnya di Kyee Kan Pyin sejak pertengahan bulan lalu untuk melarang penduduk kampung itu, terutamanya etnik Rohingya membeli makanan di pasar tempatan atau menghantar anak ke sekolah.
"Jika kami tidak mempunyai surat atau dokumen yang menunjukkan kami terlibat dalam pendaftaran sebagai etnik Benggali, kami tidak boleh meninggalkan kampung ini," katanya.
Di beberapa kampung Rohingya, nama individu yang berpengaruh dipaparkan pada papan kenyataan bagi memujuk penduduk kampung lain mengambil bahagian dalam proses pendaftaran itu atau mereka bakal dipenjarakan selama dua tahun jika enggan bekerjasama.
Malah beberapa saksi mendakwa pegawai kerajaan memaksa etnik Rohingya menandatangani dokumen pendaftaran selepas diacukan pistol atau diugut akan dihantar ke kem tahanan jika mereka enggan berbuat demikian.
"Ada sejumlah penduduk kampung (Rohingya) juga ditendang dan dipukul menggunakan belantan sebelum ditahan kerana enggan terlibat dalam proses pendaftaran itu," kata sumber itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141011/lu_03/Etnik-Rohingya-diacu-pistol-enggan-daftar-sebagai-Benggali#ixzz3FmgcD2k3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment