Thursday 3 July 2014

Amuk serang kedai


Yangon: Polis Myanmar semalam melepaskan tembakan untuk meleraikan pergaduhan antara penduduk Islam dan pelampau Buddha di bandar Mandalay.

Menurut kenyataan polis Mandalay, lebih 600 anggota polis dikerahkan selepas kira-kira 300 penganut Buddha termasuk 30 sami membaling batu ke arah kedai minum dimiliki seorang lelaki Muslim pada jam 11 malam.


“Seorang anggota polis, tiga lelaki Buddha dan seorang lelaki Muslim cedera dibaling batu. Dua daripada lelaki Buddha terbabit kini dirawat di hospital Mandalay manakala yang lain mendapat rawatan pesakit luar,” katanya.

Polis menembak peluru getah untuk mengawal mereka yang berhimpun sehingga akhirnya bersurai sekitar jam 3.15 pagi dengan bantuan sami.


Seorang saksi yang tinggal di kejiranan Muslim berhampiran berkata, sekumpulan pelampau Buddha berhimpun di depan kedai berkenaan selepas timbul khabar angin pemiliknya merogol seorang wanita Buddha.


Katanya, anggota polis berdiri di antara dua kumpulan itu dalam usaha menghalang pelampau Buddha terbabit terus menyerang.

“Malah pihak polis turut diserang dan dibaling batu,” katanya yang enggan namanya disiarkan atas sebab keselamatan.

Menurutnya, pelampau Buddha turut menggeledah kedai berhampiran dan membakar kenderaan sebelum akhirnya disuraikan, namun masih membuat bising bertujuan mengganggu penduduk kejiranan itu sehingga jam 6 pagi.

Sementara itu, polis mengesahkan laporan sudah dibuat berhubung tuduhan rogol terhadap pemilik kedai berkenaan dan membuat pengawasan di situ selepas dimaklumkan ia mungkin menjadi sasaran pihak yang tidak berpuas hati. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

No comments:

Post a Comment