Sunday 6 July 2014

Penduduk Islam diancam bunuh


Polis Myanmar membuat pemeriksaan ke atas penunggang motorsikal di sebatang jalan di Mandalay, kelmarin. - AFP
MANDALAY, Myanmar 5 Julai - Beratus-ratus penganut Buddha yang menaiki motosikal sekitar Mandalay mengancam untuk membunuh penduduk Islam ketika mereka menunggang motosikal di sekitar bandar kedua terbesar negara ini, meningkatkan kemungkinan keganasan puak dan agama selepas dua orang maut dalam konflik agama pada awal minggu ini.
Portal berita Arab News melaporkan sekurang-kurangnya 300 penganut Buddha yang menunggang motosikal di sekitar Mandalay semalam membawa pisau, batang kayu dan buluh.
"Kami akan membunuh semua penganut Islam,’’ jerit mereka ketika mereka menunggang di jalan raya selepas menghadiri majlis pengebumian seorang penganut Buddha yang mati ditikam tiga hari lalu.
Seorang lelaki beragama Islam turut dipukul sampai mati awal kelmarin ketika dia dalam perjalanan ke masjid untuk solat subuh.
Konflik antara agama bermula di negara ini sejak dua tahun lalu, mengancam pembaharuan politik yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Presiden, Thein Sein.
Sekurang-kurangnya 240 orang terbunuh dan lebih 140,000 orang kehilangan tempat tinggal dalam konflik agama di negara ini sejak Jun 2012,
Kebanyakan mangsa merupakan penduduk minoriti Islam yang dianggarkan berjumlah lima peratus daripada keseluruhan penduduk Myanmar.
Dalam pada itu, seorang imam di masjid Mandalay, Ossaman berkata, lima orang penganut Islam ditangkap, semalam selepas polis memeriksa rumah mereka dan menemui pisau yang digunakan untuk majlis keagamaan.
"Polis tahu pisau itu digunakan untuk majlis keagamaan. Mereka tidak melanggar sebarang undang-undang," katanya.
Seorang pegawai polis mengesahkan penangkapan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140706/lu_06/Penduduk-Islam-diancam-bunuh#ixzz36dRAJXsc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment