Thursday 3 July 2014

Lima cedera rusuhan agama tercetus di Myanmar


Sebahagian anggota polis terpaksa dikerah bagi mengawal keadaan di Mandalay apabila rusuhan agama tercetus, kelmarin. - AGENSI
YANGON 2 Julai - Sekurang-kurangnya lima orang cedera termasuk seorang anggota polis apabila rusuhan agama tercetus antara penduduk Islam dan Buddha di Mandalay, utara ibu negara Myanmar, hari ini.
Menurut kenyataan polis Mandalay, rusuhan mula tercetus sejak malam semalam apabila sekumpulan 300 penduduk Buddha bersenjatakan pisau termasuk 30 sami melontar batu ke arah sebuah kedai minum milik seorang lelaki Islam yang dituduh merogol seorang wanita tempatan.
Jelas kenyataan itu, lebih 600 anggota polis dikerah ke lokasi kejadian dan melepaskan tiga tembakan peluru getah untuk mengawal keadaan.
"Seorang anggota polis, tiga penduduk Buddha dan seorang penduduk Islam cedera akibat terkena batu dalam insiden itu.
"Keadaan kembali tenang kira-kira pukul 3.15 pagi hari ini selepas beberapa sami memujuk orang ramai supaya beredar," jelas kenyataan itu.
Satu laporan lain mendakwa, pemilik kedai tersebut merogol seorang wanita dan siasatan masih lagi dijalankan.
Sementara itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, kumpulan perusuh Buddha memusnahkan banyak kedai dan membakar kenderaan penduduk Islam sebelum polis berjaya mengawal keadaan.
"Namun, setakat pukul 6 pagi ini, beberapa penduduk Buddha masih membuat kecoh di kawasan penempatan penduduk Islam," katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140703/lu_07/Lima-cedera-rusuhan-agama-tercetus-di-Myanmar#ixzz36Lqul1Hd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment