Sunday 13 July 2014

Bangladesh larang rakyat kahwini pelarian Rohingya


2014/07/13

Dhaka: Bangladesh melarang perkahwinan antara rakyatnya dengan pelarian Rohingya Myanmar, yang didakwa berbuat demikian untuk cuba mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Menteri Undang-Undang, Syed Anisul Haque, berkata beliau mengarahkan pendaftar perkahwinan tidak menerima secara rasmi ikatan antara rakyat Bangladesh dan Rohingya dan juga sesama rakyat Rohingya sendiri, yang melarikan diri ke Bangladesh.

Beliau berkata, Rohingya cuba untuk menggunakan sijil perkahwinan untuk mendapatkan pasport Bangladesh dan dokumen lain kerana penduduk Rohingya yang mengahwini rakyat Bangladesh secara automatik layak mendapat taraf kewarganegaraan.

“Dengan mendaftarkan perkahwinan mereka di Bangladesh mereka cuba untuk membuktikan bahawa mereka adalah rakyat Bangladesh,” katanya.

“Kami memberitahu pendaftar perkahwinan untuk tidak menerima mana-mana perkahwinan penduduk Rohingya dan juga antara penduduk Rohingya dan warga Bangladesh di Bangladesh.”

Tindakan tegas

Jurucakap Kementerian Undang-Undang, Abdullah Al Shahin, berkata pendaftar perkahwinan memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan jika mereka melakukan mana-mana perkahwinan seperti itu.
Ada kira-kira 300,000 penduduk Rohingya tinggal di daerah pantai selatan Bangladesh yang bersempadan dengan Myanmar, kerana melarikan diri dari penganiayaan di negara itu sejak 1990-an.

Pertempuran perkauman yang tercetus dua tahun lalu di negeri barat Rakhine, Myanmar menyebabkan 140,000 orang hilang tempat tinggal, kebanyakan rakyat Rohingya yang tidak mempunyai kerakyatan.

Bangladesh hanya mengiktiraf kira-kira 28,000 pelarian di negaranya yang layak mendapatkan bantuan makanan, tempat tinggal asas dan bantuan lain yang diberikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Manakala selebih penduduk Rohingya lain di Bangladesh tinggal di kawasan setinggan yang didirikan berhampiran hutan atau pantai.

Pengawal sempadan Bangladesh sering kali menghantar pulang penduduk Rohingya yang cuba merentasi sempadan Myanmar.
AGENSI 

No comments:

Post a Comment