Monday 7 July 2014

Polis tak halang rusuhan


Mandalay: Masyarakat Islam Myanmar menuduh polis yang berada di tempat kejadian tidak mengambil sebarang tindakan ketika pelampau Buddha merusuh dan membakar sebuah sekolah serta bangunan lain pada Sabtu.

Perusuh yang sesetengahnya membawa senjata bertindak ganas di Mandalay selepas pengebumian seorang penganut Buddha yang menjadi mangsa pergolakan agama di negara itu.


Sebuah sekolah dan asrama yang terletak di kawasan masyarakat Muslim di pinggir bandar berkenaan hangus.

“Lebih 70 anggota polis berada di kawasan itu pada masa kejadian namun tidak mengambil sebarang tindakan,” kata saksi kejadian, Win Naing.


Menurutnya, perusuh bersenjatakan kayu, besi paip dan gergaji.


Ketika kejadian dipercayai, tiada pelajar berada di sekolah itu.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Keganasan yang berlaku sejak beberapa hari lalu berpunca daripada tuduhan rogol.

Dua orang terbunuh manakala 14 lagi cedera dalam keganasan berkenaan.
“Polis boleh menghentikan rusuhan itu namun mereka tidak berbuat demikian,” kata seorang ahli majlis dialog antara agama di bandar itu, Zaw Zaw Latt.

Polis bagaimanapun memberikan alasan mereka tidak meletakkan pasukan keselamatan tambahan di situ kerana tidak menyangka keganasan akan tercetus.

“Kami tidak menghalang perusuh itu kerana menyangka mereka mengambil bahagian dalam pengebumian yang berlangsung,” kata jurucakap polis, Ye Htut.

Sekurang-kurangnya 250 orang terbunuh dalam konflik membabitkan penganut Buddha dan Muslim yang memberi impak kepada perubahan politik Myanmar sejak beberapa tahun lalu.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

No comments:

Post a Comment