2014/07/13
Mandalay: Ketika jutaan umat Islam di seluruh dunia bergembira menyambut Ramadan, penduduk Islam Myanmar takut untuk mengunjungi masjid berikutan siri serangan yang dihadapi sejak awal bulan suci ini.
“Saya tidak tahu apa keadaan untuk keselamatan masjid. Saya tidak ke masjid sejak 2 Julai lalu,” kata seorang lelaki Islam yang enggan dikenali kepada The Myanmar Times, Rabu lalu.
Keganasan meletus minggu lalu di Mandalay apabila kira-kira 300 pelampau Buddha termasuk 30 sami menyerang kedai teh milik penduduk Muslim di kawasan itu berhubung dakwaan lelaki Islam merogol wanita Buddha.
Samseng membaling batu ke arah harta milik penduduk Islam, memecah masuk kedai milik Muslim, rumah dan masjid, merosakkan sekurang-kurangnya tiga kereta dan mencederakan beberapa penduduk menggunakan pisau.
Serangan di Mandalay menyebabkan dua maut dan 20 cedera.
Masjid menjadi mangsa terbaru keganasan agama di Mandalay, selepas ditinggalkan jemaah kerana bimbangkan keselamatan.
Serbuan polis ke atas masjid meningkatkan kebimbangan dalam kalangan umat Islam, terutama selepas polis merampas senjata digunakan penduduk Islam untuk mempertahankan komuniti mereka.
Tidak dapat pertahankan diri
“Kami tidak dapat mempertahankan diri walaupun nyawa diancam. Kini kami takut walaupun memegang batu,” kata salah seorang jemaah yang bersolat di masjid Ko Yan Taw.
Pemimpin Islam menegaskan komuniti mereka berhak mempertahankan diri jika perlu.
“Kami amat takut dan tidak berani keluar. Kami berhak melindungi anak kami, tetapi polis mengambil kayu daripada masjid. Berikutan itu, kami menghantar tiga orang untuk mengawal masjid,” kata Setiausaha Lembaga Pemegang Amanah masjid berkenaan, U Khin Mg Aye.
Selepas menyerbu beberapa masjid di bandar Chan Aye Thar San, polis menangkap
sekurang-kurangnya lima orang.
Selain itu, beratus-ratus penduduk Islam yang pernah tinggal di pekarangan masjid Taw, melarikan diri selepas serangan Buddha.
“Semua penduduk antara 400 hingga 500 meninggalkan masjid dan pergi ke Pyin Oo Lwin dan Kyaukme. Sebahagian yang mampu pergi ke Jiegao di sempadan China-Myanmar,” kata U Khin Mg Aye.
Masjid di utara Mandalay masih kerap dikunjungi jemaah sepanjang bulan puasa.
“Ramai penganut Buddha di sini, kami tinggal bersama sejak lama dulu. Berhampiran masjid, ada kuil Naga dan kuil Hman kin. Mereka suruh saya berlindung dalam kuil jika apa-apa berlaku,” kata pegawai masjid Miba Zey di utara Mandalay, U Khin Mg Than.
Namun, keharmonian di utara dicemari kempen anti-Islam online yang dilakukan pelampau Buddha. - AGENSI
No comments:
Post a Comment