Friday 4 July 2014

2 maut rusuhan di Myanmar


Polis Myanmar mengawal rusuhan ganas membabitkan penganut Buddha dan Islam yang mengakibatkan dua orang terbunuh di Mandalay, kelmarin. - AFP
MANDALAY 3 Julai - Dua terbunuh selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan peluru getah bagi menyuraikan rusuhan antara penganut Buddha dan penduduk Islam yang masuk hari kedua di sini semalam.
Seorang penduduk Buddha dan seorang penduduk Islam terbunuh, manakala 14 yang lain cedera, kata seorang kolonel tentera yang bertanggungjawab terhadap keselamatan di Mandalay, Aung Kyaw oo.
Polis terpaksa bertindak bagi mengawal keadaan apabila kira-kira 450 penunjuk perasaan bertindak menyerang sebuah gerai minuman milik penduduk Islam yang didakwa merogol seorang wanita penganut Buddha, sehingga tercetus rusuhan.
Seorang penduduk, Wiranthu menyiarkan pautan online di laman Facebook tentang dakwaan rogol oleh pemilik gerai minuman itu beberapa jam sebelum rusuhan berlaku.
Penunjuk perasaan turut dilapor merosakkan dan membakar beberapa kereta, selain melontar batu serta botol ke beberapa buah rumah, lapor akhbar New Light of Myanmar.
Penunjuk perasaan yang bersenjatakan kayu dan pisau itu dikatakan berarak menuju ke pusat bandar tanpa menghiraukan kehadiran pasukan keselamatan.
"Kami sedang menyiasat tentang rusuhan ini dan akan bertindak terhadap mereka yang terlibat dalam serangan beramai-ramai itu," kata ketua polis Mandalay, Zaw Win Aung.
Polis turut menahan empat orang semalam dan lima orang cedera pada hari pertama rusuhan.
Dalam satu ucapan bulanan, baru-baru ini, Presiden Myanmar, Thein Sein menyeru supaya konflik keagamaan dihentikan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140704/lu_03/2-maut-rusuhan-di-Myanmar#ixzz36RgGG9DN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment