Wednesday 11 November 2015

Suu Kyi tak puas hati


AFP - PARA penyokong Suu Kyi berkumpul untuk menunggu pengumuman keputusan pilihan raya umum Myanmar di Yangon kelmarin.


YANGON – Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang diketuai pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi semalam menuduh kerajaan Myanmar sengaja melengahkan keputusan pilihan raya umum yang berlangsung pada Ahad lalu.
“Suruhanjaya Pilihan Raya sengaja melewatkan pengumuman keputusan pilihan raya ini.
“Ia mungkin kerana mereka cuba menipu atau melakukan sesuatu,” kata jurucakap NLD, Win Htien kepada pemberita di kediaman Suu Kyi di Yangon selepas mesyuarat parti berkenaan.
Menurutnya, adalah tidak munasabah untuk suruhan jaya itu mengumumkan keputusan pilihan raya itu secara beransur-ansur.
“Perkara seperti ini tidak patut berlaku,” tambahnya.
Terdahulu, Suu Kyi, 70, berkata, beliau percaya partinya mendapat majoriti di Parlimen selepas pilihan raya bersejarah itu, menurut laporan Perbadanan Penyiaran British.
Menurutnya, NLD memenangi 78 daripada keseluruhan 88 kerusi di Dewan Rendah Parlimen setakat semalam sekali gus bakal mencatat kemenangan besar apabila keputusan pilihan raya diumumkan.
“Kami (NLD) telah memenangi sekitar 75 peratus kerusi Parlimen,” kata Suu Kyi.
NLD memerlukan sekurang-kurangnya 67 peratus kerusi Parlimen untuk mencatat kemenangan majoriti sekali gus membentuk kerajaan demokrasi pertama di Myanmar.
Kelmarin, Parti Kesatuan Solidariti Dan Pembangunan (USDP) yang memerintah Myanmar mengaku kalah dalam pilihan tersebut.
“Kami sudah kalah,” kata pemangku pengerusi USDP, Htay Oo kepada agensi berita Reuters dalam satu wawancara sehari selepas negara rantau Asia Tenggara itu mengadakan pilihan raya umumnya yang pertama dalam tempoh 25 tahun.
Dalam pada itu, pasukan pemerhati Kesatuan Eropah (EU) yang disertai oleh 150 anggota dari semua negara EU menyatakan, pihaknya ber­puas hati dengan proses demokrasi di Myamar itu dan memuji suruhanjaya itu kerana melaksanakan tugas dengan baik.
“Kami kagum kerana pilihan raya ini berjalan dengan aman. Ia adalah lebih baik daripada jangkaan awal,” kata ketua pasukan pemerhati itu, Alexander Graf Lambsdorff.
Menurutnya, 95 peratus daripada lebih 500 pusat mengundi yang dipantau mendapat penarafan baik oleh badan berkenaan. –Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3r8Iw4eZu 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment