Tuesday, 10 November 2015

Aung San Suu Kyi lakar sejarah


Parti NLD pimpinan pemimpin pembangkang Myanmar menang besar pilihan raya umum
10 November 2015 12:37 AM


YANGON 9 Nov. - Pemimpin pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi, semakin hampir melakar sejarah negara ini, apabila Parti Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinannya dilaporkan mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum negara ini, semalam selepas menyapu bersih semua 12 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di ibu negara.
Pengerusi Kesatuan Suruhanjaya Pilihan Raya, Tin Ayu berkata, berdasarkan keputusan setakat ini, parti NLD memenangi kesemua kerusi di Yangon, bandar terbesar di negara ini dan tiga lagi kerusi di kawasan lain.
Sehingga pukul 9 malam ini, NLD memenangi 35 daripada 36 kerusi Parlimen.
Dalam pada itu, Suu Kyi berkata, walaupun keputusan rasmi pilihan raya masih belum dikeluarkan, kiraan awal menunjukkan partinya memenangi lebih 90 peratus undian di wilayah tengah Myanmar yang padat dengan penduduk.
Parti pemerintah Myanmar, Kesatuan Pembangunan dan Solidariti (USDP) dilaporkan akur dengan pilihan rakyat.
Suu Kyi dalam kenyataannya di ibu pejabat NLD di Yangon, turut memberi bayangan bahawa parti pembangkang itu mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya tersebut.
“Masih awal untuk mengucapkan tahniah kepada calon kita atas kemenangan tersebut.
“Tetapi saya rasa semua pihak tahu tentang keputusan yang bakal diumumkan,” kata pemimpin berusia 70 tahun itu.
Jurucakap NLD, Win Htein berkata, parti pimpinan Suu Kyi turut mencatat kemenangan lebih 65 peratus undi di wilayah luar bandar termasuk di negeri Mon dan Kayin.
“Berdasarkan laporan terkini, NLD meraih kemenangan 70 peratus kerusi Parlimen, jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun keputusan awal di lima negeri lain masih belum diketahui dan tidak dapat dipastikan, sama ada NLD boleh mencapai kemenangan dua pertiga daripada 323 kerusi Parlimen yang dipertandingkan bagi membentuk kerajaan demokrasi pertama sejak awal 1960-an.
Walaupun Suu Kyi mencatat sejarah baharu, hala tuju Myanmar ke arah negara berdemokrasi dilihat masih berliku kerana timbul persoalan bagaimana Suu Kyi dan parti lain berunding untuk berkongsi kuasa dengan pihak tentera.
Malah, jika Suu Kyi mendapat majoriti dalam Parlimen, beliau masih dilarang untuk bertanding sebagai Presiden mengikut Perlembagaan yang digubal oleh kerajaan junta bagi mengekalkan kuasa tentera dalam pemerintahan.
“Saya masih boleh berkuasa di bawah kepemimpinan Presiden baharu,” kata Suu Kyi sambil menyifatkan Perlembagaan itu sebagai mengarut.
Sementara itu, pemangku Presiden USDP, Htay Oo mengalami kekalahan di kubu kuat parti tersebut di Ayeyawaddy selepas NLD menyapu bersih kemenangan di kawasan terbabit.
“Parti USDP tewas semua kawasan di Ayeyawaddy,” katanya. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aung-san-suu-kyi-lakar-sejarah-1.156761#sthash.EAFufTWj.dpuf

No comments:

Post a Comment