Walaupun 135 kumpulan etnik minoriti di Myanmar diberikan status kerakyatan, tetapi etnik Kaman yang juga merupakan penganut Islam menerima nasib yang sama se­perti etnik Rohingya kerana terpaksa tinggal di kem pelarian, ekoran keganasan agama pada 2012.
Seorang daripada kira-kira 2,000 etnik Kaman, Soe Hlaing yang diberikan hak mengundi berkata, dia tidak akan menunaikan tanggungjawab tersebut kerana terpaksa menanggung penderitaan akibat larangan dan sekatan yang dikenakan pihak berkuasa Myanmar terhadap masyarakat Islam di negara ini.
Jelasnya, sejak ditempatkan di kem pelarian di Ohn Daw Gyi berdekatan Sittwe, kerajaan Myanmar mengenakan larangan dan sekatan yang sama ke atas etnik Islam lain seperti yang dialami masyarakat Islam Rohingya.
“Saya tidak akan mengundi selagi semua orang tidak dibenarkan mengundi.
“Malah, sebagai bantahan terhadap penindasan ke atas etnik Ro­hingya, saya tidak akan menggunakan hak mengundi tersebut,” katanya.
Kira-kira 150 orang daripada 100,000 penduduk Islam yang tinggal di 20 buah kem pelarian di sekitar Swittwe, ibu negeri Rakhine dibenarkan mengundi oleh pihak berkuasa Myanmar.
Soe Hlaing dan penduduk Islam lain berharap Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang diketuai ikon pembangkang Aung San Suu Kyi dapat memenangi pilihan raya tersebut, sekali gus membentuk kerajaan yang lebih demokrasi.
“Sebelum tercetus keganasan agama pada 2012, kami mengundi parti pemerintah, Parti Kesatuan Pembangunan dan Solidariti (USDP), tetapi mereka tidak pernah melin­dungi kami.
“Saya berharap kerajaan yang bakal diketuai NLD dapat membenarkan kami pulang ke rumah dan tidak lagi tinggal di kem pelarian,” katanya. – REUTERS