Sunday 8 November 2015

'Hormat keputusan pilihan raya'


Yangon: Presiden Myanmar berkata, dia dan kerajaan serta tentera menghormati keputusan pilihan raya negara itu yang dijadualkan hari ini dan dijangka mampu dimenangi parti pimpinan ketua pembangkang, Aung San Suu Kyi.

Presiden Thein Sein berkata: “Saya tahu ada pihak yang bimbang keputusan pilihan raya tidak dihormati. Namun, saya ingin menegaskan kami akur dengan hasil proses pilihan raya yang bebas serta mengikut demokrasi ini.”

Kenyataannya juga menjadi mesej kepada masyarakat antarabangsa bahawa kerajaan akan mengadakan pilihan raya secara bebas dan adil walaupun ada pihak mempertikaikan senarai pengundi yang tidak lengkap dan penindasan terutama terhadap golongan Rohingya yang tidak diiktiraf sebagai warganegara seterusnya tidak dibenarkan mengundi.

“Kami akan melihat hasil keputusan pilihan raya dan bekerjasama dalam arena politik baru jika perlu,” kata Thein.

Sebelum ini pada 1990 junta tentera yang memerintah enggan menerima keputusan pilihan raya yang dimenangi Parti Liga Demokrasi Kebangsaan pimpinan Suu Kyi.

Sebaliknya tentera meneruskan pemerintahannya sejak 1962 sebelum tunduk pada tekanan antarabangsa dan mengadakan pilihan raya pada 2010. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:04 AM

Thein
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91650#sthash.Q4JYM3Va.dpuf

No comments:

Post a Comment